‘Rantai emas dikebas sebagai bayaran ubat’

in Edisi Utara by


BALIK PULAU – Seorang warga emas berputih mata selepas rantai emasnya dicuri seorang lelaki yang berpura-pura menawarkan ubat kepadanya pagi semalam.


Dalam kejadian di Hospital Balik Pulau itu, mangsa yang ditemani anaknya baharu selesai membuat rawatan dan sedang duduk di kerusi di bahagian pesakit luar.


Ketika itu, anak mangsa yang merupakan pekerja kontrak didatangi lelaki tersebut dan menawarkan ubat kepada ibunya.


Kedua-duanya berbual selama lima minit dan kemudiannya anak mangsa memberitahu lelaki tersebut bahawa dia mahu mengambil keretanya yang diletakkan di kawasan parkir berdekatan.


Ketika anak mangsa beredar, lelaki tersebut telah membuka rantai leher yang dipakai mangsa dengan alasan sebagai bayaran kepada ubat yang diberinya itu.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.


Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 9.45 pagi ketika mangsa berusia lingkungan 80 an bersama anaknya di hospital tersebut.


“Ketika mangsa sedang menunggu anaknya mengambil kereta di kawasan parkir, suspek telah membuka rantai lehernya sebagai bayaran kepada ubat yang diberikanya itu.


“Anak mangsa yang berusia 48 tahun itu cuba mencari suspek namun gagal. Dia kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.


Tambahnya, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM2,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]