Siti Rukiah pertahan jawatan ketua wanita bahagian

in Politik by


SABAK BERNAM – Ketua Wanita Umno Bahagian Sabak Bernam, Siti Rukiah Mohd Taib mengekalkan jawatan beliau selepas menang dalam pertandingan dua penjuru pada pemilihan parti itu, sebentar tadi.


Siti Rukiah menang dengan memperoleh 168 undi mengatasi pencabarnya, bekas Ketua Puteri Umno Bahagian Sabak Bernam, Norwana Sulaiman yang mendapat 121 undi.


Pengumuman itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Selangor, Datuk Saffian Omar.


Sementara itu, kerusi Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Sabak Bernam menyaksikan Ketua Puteri Umno Bahagian Sabak Bernam, Nor Farhana Alham mendapat kepercayaan sayap wanita bahagian berkenaan.


Nor Farhana memperoleh 160 undi menewaskan, Mastijah Ibak selepas memperoleh majoriti 31 undi.


Mastijah yang juga penyandang kerusi itu gagal mempertahankan jawatannya apabila mendapat 129 undi.


Seramai 289 perwakilan wanita Umno Bahagian Sabak Bernam hadir mengundi dalam pemilihan parti itu.


Saffian ketika ditemui berkata, proses pemilihan Umno Bahagian itu lancar, sistematik dan penuh dengan semangat kekeluargaan.


Katanya, perwakilan telah membuat pilihan bijak apabila memilih gandingan muka lama dan baharu bagi menerajui sayap wanita bahagian berkenaan.


“Saya ucapkan tahniah kepada calon yang menang dan berharap barisan kepimpinan kali ini dapat memastikan Umno berada dalam landasan yang tepat untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat bagi menghadapi PRU15,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]