Susah nak dapatkan lokasi mesyuarat

in Politik by


JELI – Umno Kelantan tidak menafikan terdapat kekangan dalam menentukan lokasi Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri di beberapa bahagian di negeri ini.


Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, situasi ini berpunca daripada ketiadaan lokasi sesuai yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut sebagaimana sebelum ini.


“Ada bahagian yang buat di luar kawasan dan di rumah ketua bahagian, itu antara kekangannya. Dulu tak ada masalah boleh buat di mana- mana sebab kita kerajaan. Sekarang tak boleh.


“Bagaimanapun ia hanya sebilangan kecil. Tak ada masalah. Semuanya diselesaikan dengan baik dan mesyuarat dapat dijalankan dengan pemilihan lokasi yang sesuai,” katanya.


Mustapa ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Puteri dan Pemuda Umno Bahagian Jeli 2018 di sini, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Jeli, Datuk Abd Aziz Derashid, Naib Ketuanya, Mohd Bakri Daud.


Sementara itu, Mustapa dalam ucapan perasmiannya mengingatkan semua perwakilan agar membuat pilihan terbaik demi masa depan Umno.


“Pemilihan ini penting untuk tentukan masa depan parti dan negara. Sekarang ini, orang di luar Umno pun sedang memerhatikan siapakah kepimpinan baru yang dipilih hari ini.


“Jika pemimpin dipilih mampu membawa misi dan visi parti ke arah lebih baik, tidak mustahil kuasa Umno dapat dikembalikan pada PRU15 nanti,” katanya.


Tambahnya, sekarang masa untuk merangka strategi bagi membolehkan Umno bangkit dengan gagah selepas mengalami kekalahan pada PRU14 lalu.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]