Tiada pertandingan sayap di Tanjung Piai

in Edisi Johor by


PONTIAN – Tiada pertandingan sayap Umno Bahagian Tanjung Piai bagi pemilihan Umno penggal 2018 hingga 2021.


Masing-masing memilih untuk menunjukkan kerjasama dengan tidak mengadakan pertandingan bagi jawatan Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan Ketua Wanita.


Penyandang Ketua Wanita, Zarina Mohamed Bain kekal manakala Ketua Pemuda diterajui Syarulzaman Ibrahim dan Ketua Puteri, Norazmeen Ahmad.


Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan berkata, pendirian tiga sayap Umno Bahagian Tanjung Piai yang sepakat mahu jawatan tertinggi ketiga-tiga parti tidak dipertandingkan merupakan keputusan terbaik dan tepat pada masanya.


Katanya, gandingan Zarina dan Syarulzaman serta  Norazmeen akan membawa momentum perubahan dalam Umno kerana masing-masing sudah menimba pengalaman dalam Umno sebelum ini.


Beliau berkata, kehadiran ahli yang begitu ramai dalam mesyuarat dan pemilihan ketiga-ketiga sayap Umno Bahagian Tanjung Piai kali ini memberi gambaran jelas Umno masih releven.


“Saya dapati kehadiran hari ini agak luar biasa walaupun Umno kini sedang berdepan tsunami politik. Namun, saya melihat kesetiaan dan semangat  ahli ahli Umno terus kukuh dan kuat


“Suasana ini diperkuatkan lagi dengan mesyuarat-mesyuarat cawangan yang lalu di mana kedatangan ahli juga agak ramai,”katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian  Tanjung Piai di Dewan Asyura Batu 34 Jalan Johor,  di sini, hari ini.


Beliau berkata kehadiran ahli-ahli ke mesyuarat di peringkat cawangan yang diadakan di 87 cawangan bagi Umno Bahagian Tanjung Piai perlu dilihat sebagai kayu pengukur semangat kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada parti.


“Ahli Umno masih sayangkan parti dan mereka rasa Umno ini masih relevan. Malah Umno juga masih boleh menjadi tonggak dan memperjuangkan agama.


“Pada dasarnya dalam perjuangan ini Umno begitu istiqomah di mana agama Islam dan perpaduan orang Melayu diberikan perhatian kerana kedua-duanya sangat penting buat parti,”katanya.


Tegasnya, ahli Umno di peringkat bahagian Tanjung Piai tidak pernah merasa untuk meninggalkan parti yang telah mencurahkan bakti selama 60 tahun terhadap negara, agama dan bangsa.


“Kami diperingkat Umno Bahagian Tanjung Piai akan terus bekerja dan bersatu hati. Paling jelas pemilihan kali ini tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi ke tiga-tiga sayap atas semangat toleransi dan perpaduan.


“Cuma yang ada pemilihan di peringkat Exco sahaja,”katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]