Ubah debat Presiden Umno kepada dialog

in Politik by


PARIT BUNTAR – Calon Naib Ketua Umno bahagian Parit Buntar, Mu’ammar Ghadafi Jamal Jamaluddin menggesa konsep penganjuran debat di antara tiga calon utama Presiden Umno ditukar kepada pendekatan perbincangan atau dialog yang lebih bersifat kekeluargaan.


Bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Parit Buntar itu berkata, penganjuran platform debat di antara Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dianggap kurang sesuai kerana konsep itu seolah-olah mencari kesalahan antara setiap calon berbanding idea penyelesaian.


Menurutnya, hasrat ketiga-tiga calon utama itu bertanding jawatan Presiden Umno bersama empat lagi calon lain adalah semata-mata bertujuan menambah baik dan mengukuhkan Umno pada masa hadapan.


“Pada pandangan peribadi, saya tidak setuju dengan konsep debat, sebaliknya ianya perlu diganti dengan konsep perbincangan atau pendekatan dialog sesama calon.


“Ahli Umno mungkin hendak mencari pemimpin mana yang memiliki pendekatan dan kaedah strategi terbaik dan lebih relevan dalam memulihkan parti, namun kaedah debat akan menggalakkan setiap calon mencari kesalahan antara satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis mesyuarat perwakilan sayap Pemuda Umno bahagian Parit Buntar di sini semalam.


Turut hadir Ketua Pemuda Umno bahagian baharu, Shamsul Hussin.


Mu’ammar Ghadafi berkata, tiada siapa yang salah antara kesemua calon Presiden bertanding memandangkan hasrat kesemua pemimpin Umno adalah untuk memulihkan kembali imej parti yang terjejas sejak PRU14.


Menurutnya, sebagai contoh sekiranya ada tiga calon Presiden menyertai program debat, jadi hanya pendekatan calon yang menang sahaja layak diterima pakai, manakala pendekatan atau idea dua calon lagi yang kalah sudah tidak terpakai.


“Keadaan itu sebenarnya merugikan parti kerana ahli Umno sepatutnya perlu mengutip setiap idea dan pendekatan bernas dilontarkan ketiga-tiga calon berkenaan untuk digunakan bagi mengukuhkan kembali parti,


“Paling penting, setiap cadangan penambahbaikan parti waima dari mana-mana calon sekalipun boleh diguna pakai calon menang demi penambahbaikan Umno memandangkan dalam konteks sekarang, kita hendak cari formula terbaik untuk memulihkan kembali Umno,” katanya.


Debat antara calon presiden parti mula diutarakan oleh Tengku Razaleigh yang mencabar Zahid dan Khairy.


Khairy yang terawal menyahut cabaran itu diikuti Ahmad Zahid yang menyetujui cabaran debat tiga penjuru yang dijangka disiarkan siaran langsung pada malam 29 Jun.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]