Asyraf Wajdi, Noraini, Zahida terajui sayap Umno

in Politik by


KUALA LUMPUR – Angin pembaharuan mula bertiup di peringkat sayap Umno selepas Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Zahida Zarik Khan dipilih sebagai Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Umno pada pemilihan yang berakhir sebentar tadi.


Asyraf Wajdi menang selepas menewaskan lapan lagi pencabarnya termasuk Senator Khairul Azwan Harun dan Ketua Pemuda Pahang, Mohd Shahar Abdullah.


Bakal bergandingan dengan Asyraf Wajdi di kem Pemuda adalah Shahril Sufian Hamdan yang dipilih sebagai naib ketua selepas mengenepikan pencabarnya, Zahrudin Yahya, Shariquq Adam Das, Razali Tushan, Abdul Halim Sidek Ghulam Hassan, Ridzuan Hashim Baki, Safhwan Matusin dan Fariz Hadi.


Manakala, bagi kerusi Ketua Wanita pula, Noraini menewaskan dua pencabarnya Datuk Azizah Mohd Dun dan Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman.


Naib Ketua Wanita pula menjadi milik Datuk Norliza Rahim yang menewaskan tiga lagi pencabarnya.


Kerusi Puteri Umno menyaksikan Zahida mengalahkan satu-satunya pencabarnya iaitu Exco Puteri Nor Hazreena Mohamad Hashim.


Jawatan Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia pula disandang oleh Nurul Amal Mohd Fauzi dengan menewaskan empat calon lain.


Pengumuman rasmi keputusan pemilihan sayap itu diumumkan oleh setiausaha kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.


Bagaimanapun, keputusan pemilihan exco Wanita, Pemuda Dan Puteri hanya akan diumumkan melalui portal rasmi Umno tengah malam ini.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]