‘Bantu ringan beban pelajar’

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Pelajar negeri ini yang berjaya menerima tawaran institusi pengajian tinggi boleh membuat permohonan mendapatkan bantuan Insentif Harapan Siswa berjumlah RM1,000 seorang.


Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata, permohonan bantuan boleh dikemukakan secara atas talian menerusi laman web Yayasan Pelajaran Johor.


“Permohonan ini terbuka kepada semua termasuk mereka yang menerima tawaran ke kolej dan universiti swasta. Bagaimanapun keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga B40.


“Ia diharap dapat meringankan beban mereka terutamanya dari segi kos perjalanan dan semasa proses pendaftaran pelajar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Amanah Johor, di sini, semalam.


Hadir sama Menteri Besar, Datuk Osman Sapian; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dan Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad.


Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta bagi bantuan itu dengan RM1,000 untuk setiap pelajar yang ditawarkan pengajian ijazah pertama manakala RM500 pula bagi peringkat diploma.


Sementara itu, dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, beliau bercadang untuk mewujudkan platform baharu sebagai alternatif kepada petani dalam memasarkan hasil jualan mereka.


“Pasar tani itu sudah ada sebagai mekanisme untuk mereka memasarkan hasil pertanian, tapi saya berpendapat untuk masa hadapan perlu dinaik taraf.


“Jadi perlu ada lagi satu jenama baharu bagi memberi keselesaan dan meningkatkan hasil pendapatan petani,” katanya – Bernama

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]