Hasni kekal ketua, Ahmad timbalan

in Edisi Johor by


PONTIAN – Tiada pertandingan bagi ketiga-tiga jawatan tertinggi Bahagian Pontian bagi pemilihan Umno penggal 2018 hingga 2021.


Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Umno Bahagian Pontian, Datuk Ir Hasni Mohammad, sekali gus mengekalkan tradisi tiada sebarang pertandingan bagi merebut jawatan Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Umno Bahagian yang pernah dilalui pada pemilihan sebelum ini.


Keputusan yang dibuat ini menyaksikan Hasni kekal sebagai ketua, Timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan manakala Datuk Sumali Reduan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian.


Hasni berkata, walaupun tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti, ia tidak membawa maksud tiada masalah dihadapi Umno Bahagian Pontian.


Justeru itu, katanya, beliau mengalukan-alukan penyertaan golongan muda bagi menduduki kerusi ahli jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Pontian bagi membawa perubahan kepada parti pada masa hadapan.


“Sokongan orang muda sangat penting untuk memastikan Umno terus releven berdepan cabaran politik masa kini,”katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Puteri Umno Bahagian Pontian di Dewan Umno Pontian, di sini, semalam.


Sementara itu, katanya, walaupun Umno dan BN kini menjadi pembangkang dalam kerajaan Pakatan Harapan, namun ia tidak bermakna parti itu tidak boleh bersuara.


“Gunakan saluran serta medium yang betul untuk bersuara demi membela orang Melayu dan juga rakyat Malaysia sebagaimana yang Harapan lakukan kepada kerajaan BN sebelum ini,”katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]