Hilang selepas keluar beraya

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


TAMPIN – “Kami sekeluarga buntu, tak tahu Intan ada di mana sekarang, selepas keluar pada Syawal ketujuh ke Tampin untuk berhari raya sehingga sekarang dia tidak balik ke rumah,” kata seorang abang, Jeffrizain Ramli, 22 yang kehilangan adiknya.


Difahamkan, adik Jeffrizain, Intan Hasni yang berusia 19 tahun dan yang dipanggil Intan dalam kalangan keluarga itu tidak pulang selepas keluar rumah mereka di Kampung Inas, di sini, pada 21 Jun lalu.


Menurutnya, sebelum keluar, Intan yang juga anak ketiga daripada empat beradik itu ada meminta izin ibu mereka, Noraini Tukiran, 49, untuk pergi beraya menaiki bas ke Tampin jam 10 pagi.


“Tapi sampai ke malam, Intan tak balik-balik dan kami makin risau sebab gagal hubungi telefon dia termasuklah kawan-kawan kolejnya tapi masih tiada petunjuk di mana Intan berada,” katanya.


Jeffrizain berkata, kejadian kali pertama itu menimbulkan rasa sedih dan keresahan terutama ibunya.


“Saya sedih melihat ibu tidak henti-henti risau keselamatan Intan. Sebelum ini, Intan tak pernah buat macam ini dan kalau dia ada masalah dia sentiasa berkongsi dengan ibu.


“Intan memang rapat dengan ibu dan bila berlaku perkara ini, ibu sangat sedih lagi-lagi bila tak tahu apa punca Intan tak balik ke rumah. Kami juga tak ada apa-apa masalah dengan Intan sebab hubungan kami sangat rapat,” katanya.


Jelas anak kedua itu, Intan ialah orang kurang upaya (OKU) kerana tangan kirinya tidak berfungsi selepas terjatuh dari pokok ketika usia tujuh tahun.


“Ibu juga begitu, cacat tangan kanan dan tak boleh bergerak manakala ayah yang berusia 54 tahun guna kaki kanan palsu sekali gus mematahkan pergerakan mereka.


“Jadi, saya seorang diri bersengkang mata dibantu kawan-kawan berusaha mencari Intan di seluruh Tampin, Seremban dan di mana-mana lokasi yang sering dikunjungi,” katanya.


Menurutnya, kali terakhir Intan yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap (SMKDUAM) dilihat memakai jubah berwarna biru gelap dan tudung berwarna merah jambu.


“Saya minta jasa baik orang ramai jika bertemu Intan atau ternampak kelibatnya, sila hubungi saya di talian 013-2034539,” katanya.


Dalam pada itu, Jeffrizain berkata, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Johol kira-kira jam 12 tengah hari, 22 Jun lalu.

 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]