Hubungan masih baik

in Edisi by


KAMPAR – Wanita Umno Bahagian Kampar mengakui hubungan jawatankuasa itu bersama Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi masih baik dan tidak terjejas walaupun berlaku perubahan suasana politik.


Ketua Wanitanya, Zaleha Mohd Said berkata, setiap ahli perlu bijak membezakan hubungan antara keperluan parti dan kepentingan rakyat dengan Nolee Ashili yang kini bergelar wakil rakyat Bebas.


“Jika ada  masalah berkaitan dengan penduduk di kawasan ini, kami Wanita Umno Bahagian boleh terus berhubung dengan beliau… tiada masalah,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Wanita Bahagian Kampar, semalam.


Seramai 225 daripada 347 ahli Wanita Umno Bahagian Kampar membuang undi dalam mesyuarat itu untuk memilih Ketua Wanita Umno bahagian dan ahli jawatankuasa yang baharu.


Sebelum ini, Majlis Tertinggi Umno mengumumkan keahlian bekas Exco Kerajaan negeri dalam Umno gugur secara automatik selepas Nolee Ashilin memberi sokongan kepada pembentukan Kerajaan Harapan di Perak.


Rentetan perkara itu, Ketua Umno Bahagian Kampar, Datuk Mohammed Radzi Manan turut mengumumkan keluar parti.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]