Janda dicekup berkhayal ‘nikmati’ syabu

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri dan seorang janda antara empat dicekup dalam keadaan khayal dipercayai sedang’menikmati’ dadah jenis syabu, di sebuah pondok berhampiran bangunan UTC di bandaraya di sini, dalam satu operasi khas petang semalam.


Pasangan berusia 39 tahun dan janda, 35, seolah-olah tidak pernah serik apabila mengulangi kesalahan sama meskipun memiliki beberapa rekod lampau kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati suspek sanggup membina sebuah pondok di lokasi demi melepaskan gian dalam keadaan lebih selesa.


“Selain itu, pondok yang didirikan secara haram dipercayai bertujuan untuk mengaburi mata pihak berkuasa daripada menghidu aktiviti tidak sihat itu.


“Mereka sengaja membina pondok tersebut dan menjadikannya sebagai salah satu ‘port’ melepaskan gian bersama rakan penagih yang lain,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Khas di Dewan Integriti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini.


Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua ditahan positif dadah jenis syabu.


Kesemuanya kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sementara itu, Suffian berkata, sempena Operasi Khas dijalankan, turut ditahan 24 lagi individu dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah narkotik termasuk seorang penjawat awam, 43, kerana memiliki dadah jenis syabu dan seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan.


Jelasnya, Operasi Khas bermula kira-kira jam 2.30 petang dan berakhir awal pagi tadi dijalankan secara serentak di tiga lokasi iaitu di sekitar Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di bangunan UTC dan di sekitar hotel di bandaraya di sini yang melibatkan kira-kira 68 anggota termasuk pegawai dari IPD Kuala Terengganu.


“Operasi ini dilancarkan adalah bertujuan untuk menangani masalah kutu rayau dan juga kaki ‘pau’ yang difahamkan amat berleluasa sejak kebelakangan ini.


“Sebelum ini juga polis banyak menerima aduan daripada wakil Kerajaan Negeri dan orang ramai berhubung aktiviti kaki ‘pau’ melalui laman sosial yang dikatakan agak membimbangkan.


“Bagaimanapun, sehingga kini, kita masih belum menerima sebarang laporan kejadian daripada mangsa terlibat mungkin disebabkan malas untuk membuat tindakan kerana menganggap jumlah kerugian tidak terlalu besar,” katanya.


Justeru itu, Suffian menasihatkan kepada semua mangsa agar dapat tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan tanpa mengira jumlah kerugian yang dirasakan sangat kecil.


Suffian menjelaskan, siasatan awal mendapati aktiviti ‘pau’ dilakukan oleh individu tertentu dan bukannya bergerak secara berkumpulan, malah individu terlibat lebih kepada dalam situasi terdesak untuk membeli dadah.


“Individu terlibat dengan aktiviti ‘pau’ ini bergerak bersendirian dan memerlukan wang hanya untuk kegunaan diri sendiri, jadi jumlah yang biasa diminta bukan dalam kuantiti besar.


“Meskipun begitu, kita memandang serius dengan aktiviti tidak bermoral ini dan akan pastikan operasi menangani masalah kaki ‘pau’  terutama di kawasan awam dijalankan secara berkala.


“Selain memastikan keselamatan orang awam lebih terjamin, inisiatif ini diambil antara salah satu langkah polis membantu serta menyokong Kerajaan Negeri bagi membasmi budaya ‘pau’ hari ini,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]