Kesan guna surat sokongan

in Nasional by


SHAH ALAM – Kebergantungan kepada surat sokongan yang berbaur arahan dan berkepentingan akan menjadikan masyarakat semakin lemah dan tidak berkualiti.


Pendakwah, Prof Madya Dr Mohd Noor Mamat berkata, situasi itu menjadi penyebab masih ramai dalam kalangan masyarakat seolah-olah tidak mampu untuk menjalani kehidupan jika ketiadaan ‘talian hayat’ ataupun orang berkuasa tempat untuk berpaut.


Menurutnya, masyarakat sepatutnya mengubah paradigma pemikiran ke arah menjadi masyarakat berkualiti dan bermerit, bukannya berterusan mengharapkan subsidi, penajaan, sumbangan, sokongan, arahan kroni daripada atasan, lesen monopoli daripada kerajaan dan sebagainya.


“Kalau kita ada kualiti dan merit, kita tidak akan berterusan bergantung kepada god father, kabel dan sewaktu dengannya.


“Surat sokongan, surat ‘kuning’, surat dari kayangan inilah yang mengganggu pentadbiran berintegriti terlaksana, malah ia juga yang merosakkan kualiti perkhidmatan awam, pendidikan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata, budaya surat sokongan sebenarnya boleh memecahbelahkan organisasi dan mewujudkan kem-kem yang saling menjatuhkan antara satu sama lain.


Menurutnya, kelangsungan kualiti organisasi juga sukar diteruskan atau ditambah baik kerana berlaku persaingan pengaruh, bukannya berasaskan kualiti.


“Selalu saya sebut dalam kursus dan ceramah integriti perkhidmatan awam, inilah punca kepada perkhidmatan awam secara songsang apabila staf bawahan akan bekerja untuk Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ‘orang atasan’ mereka, orang atasan pula bekerja untuk KPI ‘orang atasan’ mereka.


“Maka, wujudlah perkhidmatan yang tidak lagi mementingkan kualiti perkhidmatan untuk pelanggan ataupun orang awam dan staf di bawah seliaan kita, sebaliknya mewujudkan organisasi membodek tanpa mengambil kira kualiti hasil perkhidmatan,” katanya yang juga pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Mohd Noor berkata, bermula dengan budaya kebergantungan kepada sokongan atasan, atau hidup di bawah pengaruh tertentu sehingga meluputkan kualiti, kreativiti dan inovasi hidup terutama dalam perkhidmatan.


“Kerana itu, apabila sebahagian pentadbiran negara seperti kewangan, guaman dipimpin oleh mereka yang kita rasa tidak menyokong kita, timbul ketakutan dan keresahan melampau dalam masyarakat kita yang belum bersedia bersaing berasaskan kualiti dan merit.


“Kesan terhadap penguasa dan pihak atasan pula, mudah menjurus kepada penyalahgunaan kuasa, kronisme, birokrasi secara hedonistik, malah juga mudah membawa kepada budaya rasuah, mengugut dan lain-lain, menyebabkan kualiti tidak dapat dihasilkan, integriti tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]