Lendlease komited majukan Lifestyle Quarter TRX

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Lendlease memberi jaminan akan terus komited terhadap usaha mentransformasi Lifestyle Quarter di Tun Razak Exchange (TRX) kepada salah satu pembangunan semula perbandaran terbesar miliknya di peringkat global.


Firma pemaju dan infrastruktur Australia itu bekerjasama dengan TRX City Sdn Bhd yang dimiliki penuh oleh Kementerian Kewangan, bagi memajukan Lifestyle Quarter TRX.


“Projek bandar yang signifikan ini akan menyediakan beribu-ribu peluang pekerjaan baharu, teknologi terkini dan standard reka bentuk antarabangsa dan mapan terbaik yang menyumbang kepada masa depan Kuala Lumpur.


“Lifestyle Quarter itu termasuk kemudahan ke rangkaian Transit Aliran Massa dan menghubungkan plaza awam berhampiran. Usaha menyewa, mereka bentuk dan pembangunannya juga mencatat perkembangan positif,” kata Lendlease kepada Bernama.


Terletak di kawasan seluas 6.88 hektar, Lifestyle Quarter merupakan pembangunan penting daripada keseluruhan pelan induk pusat kewangan baharu TRX.


Ini termasuk pembangunan bercampur-campur seperti sebuah pusat beli-belah gaya hidup, restoran, hospitaliti dan santai, kondominium kediaman dan taman bandar yang baharu.


Menurut Lendlease, projek itu akan dijalankan menerusi model perniagaan bersepadu yang akan dimanfaatkan  sepanjang tempoh pelaksanaannya.


“Lendlease telah menyiapkan projek di pelbagai sektor untuk lebih tiga dekad lamanya dan akan terus komited terhadap Malaysia. Malah, kami akan terus memperkukuhkan lagi kehadiran di negara ini.


“Kami juga terbuka kepada sebarang peluang pelaburan baharu yang mungkin ada selepas ini,” katanya.


Pada Khamis, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan keputusan kerajaan untuk meneruskan projek TRX dan menyuntik dana tambahan RM2.8 bilion ke dalam projek itu, menjadikan jumlah pembiayaan kerajaan kini mencecah RM6.5 bilion.


Lim berkata suntikan dana RM2.8 bilion juga dijangka mewujudkan keyakinan dalam kalangan pelabur yang telah melabur dalam projek tersebut.


TRX  City telah menjual bidang tanah miliknya kepada pelabur tempatan dan asing seperti Mulia Property Development, HSBC, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji, WCT, Lendlease dan IJM. -Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]