Maritim selamatkan warga Slovenia hanyut

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seorang penggemar aktiviti lasak warga Slovenia diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan timur Sedili Kechil, Kota Tinggi selepas hanyut kira-kira 12 jam, semalam.


Pemangku Ketua Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, lelaki berumur lingkungan 50-an itu diselamatkan pada kedudukan tujuh batu nautika dari timur Sedili Kechil.


Sebelum itu, mangsa terlebih dahulu ditemui bot nelayan tempatan dalam keadaan terapung dan berpaut pada pelampung pukat.


Bagaimanapun, disebabkan keadaannya yang agak mencurigakan, nelayan tempatan takut untuk menyelamatkannya serta-merta lalu menghubungi APMM.


“Siasatan awal mendapati mangsa telah belayar dari Changi, Singapura pada 22 Jun lepas menuju Pulau Tioman, Pahang.


“Mangsa menggunakan kaedah yang tidak masuk akal dan merbahaya untuk belayar iaitu menggunakan dua buah papan luncur angin yang diikat bersama dan menggunakan satu layar.


“Mangsa kemudian telah kehilangan layar papan luncur itu akibat keletihan kira-kira 10 malam tadi dan hanyut sebelum berpaut di pelampung pukat ketika  diselamatkan pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.


Mohd Zulfadli berkata, mangsa yang keletihan diuruskan selanjutnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) Mencari dan Menyelamat (SAR) APMM.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan penggemar sukan lasak dan rekreasi maritim supaya membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melaksanakan sebarang aktiviti dengan  mengutamakan keselamatan.


Jelasnya, sebarang kesilapan pertimbangan dan kecuaian dengan ditambah keadaan laut yang tidak menentu, boleh mendatangkan malapetaka kepada diri sendiri dan orang lain termasuk mengundang maut. – Bernama


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]