Osman Ali jelas punca penundaan tayangan Langsuir

in Hiburan by
Pelakon Langsuir

Osman Ali jelas punca penundaan tayangan Langsuir


BIARPUN sudah diuar-uarkan akan memulakan tayangan pada 21 Jun lalu, namun filem terbitan  Guam Teamwork Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Nuansa Films, Langsuir telah diubah tarikh tayangan pada 20 September depan.


Ditanya punca sebenar perubahan tarikh tersebut, pengarahnya, Osman Ali memberitahu pihaknya mahu memantapkan lagi susunan dan suntingan jalan cerita filem berkenaan.


Selain itu, suntingan semula itu juga di buat atas saranan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).


“Benar, filem Langsuir telah diubah tarikh tayangan ke bulan September depan kerana LPF minta kita sunting sedikit jalan cerita agar bersesuaian untuk tontonan.


“Saya tidak ada masalah dan sedia beri kerjasama dan saya cuba ubah sebaik mungkin agar tidak merosakkan perjalanan filem tersebut serta masih menarik untuk ditonton,” katanya kepada Sinar Harian.


Bahkan tambah Osman, dia melihat penundaan tarikh tayangan ini sebagai peluang buat pihaknya mempromosikan filem ini lagi.


Filem Langsuir mempertaruhkan dua pelakon yang sedang meningkat naik, Syafiq Kyle dan Hanna Delisha sebagai teraju utama, menampilkan sebuah jalan cerita menarik tentang kisah cinta dari dua dunia yang berbeza.


Langsuir mengisahkan tentang Azlan (Syafiq Kyle)  dan rakan-rakannya telah berkunjung ke pulau terlarang bernama Pulau Langsuir. Di sana Azlan berkenalan dan kemudiannya  jatuh cinta dengan seorang gadis bernama Suri (Hanna Delisha) tanpa mengetahui dia sebenarnya adalah langsuir yang mendiami pulau tersebut.


Rakannya, Zaman yang irihati dengan hubungan Azlan dan Suri telah merancang untuk menikam paku tajam ke kepala Suri bagi melihat sejauh mana kebenaran mitos mengatakan langsuir akan kekal menjadi perempuan cantik jika kepalanya ditebuk paku.


Tindakan Zaman telah berjaya dengan bantuan Kamal namun telah menimbulkan kemarahan Dewi, kakak Suri yang nekad  mahu membalas dendam dan menghancurkan Zaman serta rakan-rakannya.


Selain Syafiq Kyle dan Hannah Delisha, filem Langsuir turut dibintangi oleh Firdaus Nadzaman, Julia Farhana, Halim Radzi, Shahkimin, Nazri, Daaim Jailani dan Naza Manas.


Filem ini telah menjalani sesi penggambaran selama 25 hari di Pulau Langkawi serta beberapa lokasi sekitar yang dipercayai sudah ditinggalkan lama seperti Gua Langsir, Gua Tembus, Pantai Talam Dua Muka dan Teluk Datai.


Menyifatkan Langsuir sebagai sebuah projek mega dengan baje kecil, Osman bagaimanapun mengakui tempoh penggambaran untuk menyiapan filem ini sebagai satu cabaran besar.


Secara tidak langsung, membuatkan dia kagum dengan beberapa penggiat filem yang berjaya menghasilkan sesebuah filem dengan penggambaran bawah 20 hari.


“Biasanya kalau saya hasilkan sesebuah filem memang makan masa lebih sebulan. Tapi untuk filem ini, kami selesaikan dalam tempoh 25 hari dengan cabaran cuaca dan lokasi sukar.


“Tapi kami berjaya hadapi cabaran itu dan walaupun filem ini tidak besar, saya ibaratkan filem ini seperti sebuah filem berskala kecil tapi berjiwa besar.


“Saya tidak jadikan bajet sebagai satu kekangan dan tetap buat sehabis baik agar hasilnya nanti memuaskan hati para penonton,” katanya.


Osman berkata, apa yang diharapkan nanti, Langsuir mendapat tempat tersendiri di hati penonton sama seperti sambutan hangat yang diterima Dukun.


Justeru, mampukah cinta antara dua dunia bertahan atau terkubur demi menyelamatkan sebuah persahabatan? Jangan lupa untuk saksikan filem ini kelak.

 


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]