Pilih pendekatan musyawarah

in Politik by


PARIT BUNTAR – Di sebalik ‘kemeriahan’ ramai calon bertanding pelbagai jawatan di peringkat bahagian dan Pusat pada pemilihan Umno kali ini, Pemuda Umno Bahagian Parit Buntar mengambil pendekatan memilih kepimpinan tertinggi secara musyawarah.


Justeru, Pemuda Umno Bahagian Parit Buntar mengambil kata sepakat untuk tidak mewujudkan sebarang pertandingan jawatan sayap parti itu, daripada jawatan Pengerusi Tetap sehingga ahli jawatankuasa.


Ketua Pemuda bahagian itu, Shamsul Hussin,38, berkata, meskipun tiada pertandingan diadakan, kesemua jawatan diisi secara musyawarah di antara kesemua ahli sayap parti bagi mengelakkan sebarang ketidakpuasan sesama mereka.


Menurutnya, pihaknya melihat perkara itu satu petanda baik untuk kesemua mereka mencapai kata sepakat bersama-sama membawa hala tuju parti ke peringkat lebih baik.


“Meskipun saya diberi laluan menang tanpa bertanding bersama Naib Ketua Pemuda Umno, Zamri Abu dan ahli jawatankuasa Pemuda bahagian lain, tumpuan utama adalah untuk memperbaiki perkara lompong dalam parti dan bukan mengubah keseluruhan struktur parti.


“Di sebalik kekalahan BN Parlimen Parit Buntar di kerusi Parlimen itu dan dua kerusi Dun pada PRU14, kita dapat melihat peningkatan sokongan undi terhadap Umno dan BN dan senario membuktikan parti masih relevan dalam kalangan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis mesyuarat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno bahagian Parit Buntar di sini semalam.


Turut hadir bekas Ketua Pemuda Umno bahagian Parit Buntar, Mu’ammar Ghadafi Jamal Jamaluddin.


Shamsul berkata, pada mesyuarat perwakilan sayap parti itu, Pemuda Umno bahagian Parit Buntar mengemukakan tiga usul utama dalam usaha menambah baik serta mengukuhkan kembali Umno.


Menurutnya, ketiga-tiga usul itu menyentuh aspek politik, agama dan ekonomi dan antaranya adalah meminta Umno Pusat mempermudah urusan pendaftaran keahlian baharu agar tidak lagi berlaku kerenah birokrasi seperti sebelum ini.


“Dalam soal pengukuhan ahli parti, kami mengusulkan supaya proses keahlian Umno dipermudahkan dan minta Umno Pusat kemuka kaedah meluluskan keahlian Umno yang lebih pragmatik.


“Dalam usul ekonomi, kami meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengemukakan satu gambaran lebih jelas berkenaan dakwaan hutan negara didakwanya mencapai RM1 trilion, sedangkan laporan BNM sebelum PRU14 menyatakan hutang negara hanya sekitar RM636 juta sahaja.


“Pemuda Umno bahagian hendak tahu kaedah mana diguna pakai menteri itu sehingga melaporkan hutang negara mencecah RM1 trilion kerana kita tidak mahu seorang menteri terus berpolitik sehingga menyampaikan berita palsu kepada rakyat,” katanya.


Shamsul turut menegaskan keputusan Pemuda Umno mempertikaikan tindakan kerajaan Harapan melancarkan Tabung Harapan Malaysia, sedangkan keupayaan negara untuk membayar balik hutang masih tinggi.


“Bagi usul agama, kita hendak mempertahankan dan memelihara institusi diraja daripada terus dipersoal pihak tidak bertanggungjawab.


“Selain itu kita juga hendak mempertahankan institusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) daripada kemungkinan dimansuhkan kerajaan baharu,” katanya.


Dalam pemilihan bagi jawatan Ketua Pemuda Umno bahagian Parit Buntar, Shamsul yang merupakan bekas Naib Ketua Pemuda Umno bahagian pada penggal lalu menang tanpa bertanding setelah bekas penyandang, Mu’ammar Ghadafi memutuskan bertanding jawatan Naib Ketua Umno bahagian itu pada 30 Jun ini.


Jawatan Naib Ketua Pemuda Umno bahagian dimenangi Zamri Abu tanpa bertanding, diikuti jawatan Ketua Wanita Umno bahagian yang masih dipertahankan calon BN PRU14 Dun Titi Serong, Norsalewati Mat Norwani.


Bagaimanapun, jawatan Ketua Puteri Umno bahagian menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Siti Suryani Arsyad dan Amrina Md Saad yang akhirnya dimenangi Amrina.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]