Speaker Dun: Umno berpakat dengan Pas?

in Politik by


ALOR SETAR – Umno Kedah akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Umno yang baharu berhubung kemelut Speaker Dun Kedah.


Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, perbincangan itu akan diadakan selepas pemilihan parti selesai 30 Jun ini.


Menurutnya, buat masa ini, pihaknya belum membuat sebarang keputusan sama ada akan memberi sokongan kepada calon Speaker dicadangkan Pas atau Pakatan Harapan (Harapan), atau memilih Pilihan Raya Negeri (PRN).


“Pada masa sama, kita akan berpakat dengan Pas dalam Sidang Dun, 4 Julai depan. Kita akan berkawan dengan Pas supaya kedudukan pembangkang dan kerajaan 18-18. Kalau tiada kesepakatan, undi Pas menjadi 15, BN pula tiga,” katanya, ketika hadir pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Alor Setar, semalam.


Ahmad Bashah tidak menafikan sebelum ini sudah ada perbincangan dibuat bersama Pas bagi mengukuhkan pembangkang di Kedah.


“Kita pakat dah, sebab itu jadi 18-18, adalah perbincangan. Isu Speaker Dun sudah berlarutan lama, apa jua keputusan yang akan dibuat perlu dapatkan pandangan Presiden baharu yang akan diberi mandat oleh ahli parti, walaupun perbincangan sudah dibuat bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini,” katanya.


Menurutnya, keperluan mengadakan PRN atau menyokong mana-mana calon Speaker yang dicadangkan perlu diperhalusi.


“Kita kena teliti sebab ada dua senarai, satu daripada Pas dan satu lagi Harapan. Apa yang dia boleh sumbang untuk Kedah. Pandangan saya, jika tak boleh tunjukkan apa yang boleh dibawa untuk Kedah, dan hanya mahu kita undi Speaker untuk kelebihan undi, lebih baik diadakan PRN,” katanya.


Ahmad Bashah yang juga Pengerusi BN Kedah berkata, pihaknya bersedia sekiranya PRN perlu diadakan pada bila-bila masa.


“Kami bersedia, kerangka pilihan raya juga sudah ada, termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan jawatankuasanya, hanya perlu umum calon saja. Perbelanjaan PRN pun tak perlu banyak, janji lawan,” katanya.


Menurutnya, bagaimana pun Umno dan Pas hanya bersedia berpakat dalam Sidang Dun bagi menyelesaikan kemelut itu.


“Kita selesai masalah dalam Dun dulu, jadi pakatlah. Luar Dun, tunggu PRU akan datang pula,” katanya.


Sebelum ini, Pas menamakan Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi sebagai calon Speaker, manakala Adun Bukit Pinang, Wan Romaini Wan Salim sebagai Timbalan Speaker Kedah.


Difahamkan, calon Speaker dari Harapan yang dicadangkan adalah bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kassim manakala Adun Ayer Hangat, Juhari Bulat sebagai Timbalan Speaker.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]