Speaker, timbalan akan diputuskan tak lama lagi: MB

in Nasional by


SHAH ALAM – Isu pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor yang masih belum dimuktamadkan dijangka akan selesai dalam masa beberapa hari lagi.


Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, buat masa ini, proses perbincangan mengenai perkara tersebut masih berjalan.


“Kita yakin akan dapat selesaikan dalam masa terdekat selepas mencapai konsensus bersama.


“Malah pemilihan tersebut akan dibuat dengan mengambil kira semua aspek dan saya akan pastikan individu yang dilantik untuk kedua-dua posisi terbabit adalah mereka yang benar-benar berkemampuan untuk memikul tanggungjawab tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan Aidilfitri peringkat Negeri Selangor di Padang B, Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, hari ini.


Selain itu, beliau berkata, portfolio Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail yang baharu sahaja dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan Exco Kerajaan Selangor juga akan diumumkan selepas pihaknya mengadakan mesyuarat Exco pertama nanti.


Dalam perkembangan lain, ketika mengulas mengenai hubungannya dengan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad, Amirudin berkata, setakat ini tiada apa-apa masalah antara mereka dan masih berhubung di dalam grup WhatsApp dan sebagainya.


Menurutnya, sebagai seorang menteri besar beliau perlu bekerjasama dan menjalin hubungan baik dengan semua pihak bukan sahaja dengan Dr Idris dan pemimpin Pakatan Harapan (Harapan), malah termasuk pemimpin pembangkang terutamanya mereka yang mempunyai cadangan atau idea yang baik untuk memajukan negeri Selangor.


“Jangat terlalu obses atau taksub dengan perbezaan dimiliki, sebaiknya kita fokus pada persamaan yang kita ada terutamanya dalam kalangan pemimpin Harapan itu sendiri,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]