Tak sangka terima bayaran Perkeso arwah suami

in Edisi Johor by


KLUANG – Waris Allahyarham Md Yunus Mohd Zin, 58, yang meninggal dunia dalam kemalangan di KM 57 Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat sini, pada 7 Jun lalu menerima bayaran daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) cawangan Kluang.


Pengurus Pejabat Perkeso cawangan Kluang, Ahmad Suzaime Abdul Aziz berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh ketika kejadian Allahyarham menunggang motosikal menuju ke tempat kerjanya.


Menurutnya, Allahyarham merupakan pekerja SWM Environment Sdn Bhd dan daripada maklumat yang diperoleh Skuad Perkeso Prihatin Pejabat Perkeso Kluang telah bertindak segera mengunjungi pihak majikannya.


“Pihak Perkeso telah bantu pihak majikan melengkapkan dokumen tuntutan untuk pekerjanya itu.


“Pada masa sama Skuad Perkeso Prihatin ini juga telah berkunjung ke kediaman Allahyarham turut membantu isteri Allahyarham Norizah Saa’dom, 56, melengkapkan dokumen tuntutan untuk membolehkan tuntutan segera diproses.


“Hasil siasatan mendapati kes ini disahkan sebagai bencana kerja mengikut seksyen 24(1)(A)AKSP 1969 iaitu kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja di mana ia membolehkan isteri Allahyarham layak menerima pencen Faedah Orang Tanggungan (FOT),” katanya selepas menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) bernilai RM2,000 kepada Norizah di Pejabat Perkeso cawangan Kluang, di sini, semalam.


Dalam pada itu, Ahmad Suzaime berkata, bayaran FOT tersebut akan dibayar secara bulanan seumur hidup isterinya berikutan tiga anak arwah telah melepasi umur 21 tahun.


Katanya, ketika penyerahan dilakukan isteri arwah tidak menjangkakan kemalangan yang menimpa suaminya itu boleh dibuat tuntutan dengan pihak Perkeso.


“Isteri arwah juga terkejut dikunjungi pihak Perkeso yang berkunjung ke rumahnya untuk membantu beliau mengisi dokumen tuntutan pencen ini.


“Isteri arwah akan menerima pencen bulanan sebanyak RM711 akan dibayar seumur hidupnya,” katanya.


Sementara itu, Norizah turut mengucapkan terima kasih pada pihak Perkeso yang banyak membantu dan memberi penerangan kepadanya.


Dia berkata, dia tidak mengetahui tentang kelayakan pencen Perkeso malah, tidak sangka boleh dituntut.


“Dengan bayaran yang diterima sedikit sebanyak meringankan bebanan saya untuk meneruskan hidup kami sekeluarga selepas ini.


“Pemergian suami ketika bulan Ramadan yang mana lapan hari sebelum sambutan hari raya sangat memberi kesan kepada kami. Namun semuanya adalah takdir ALLAH,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]