Tolak sentimen politik demi Felda

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Mengetepikan sentimen politik demi Felda, itulah yang dilakukan Majlis Permuafakatan NGO Felda seiring dengan sasaran penubuhannya yang mahu membina semula Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan itu.


Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, majlis permuafakatan itu terdiri daripada enam NGO iaitu Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Pertubuhan Suara Generasi Ke-2 FELDA (SGK2F), Kami Anak Felda (KAF), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Persatuan Kakitangan Kanan Felda (PKKF) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Felda (PKF).


Menurutnya, majlis permuafakatan itu merupakan julung kali ditubuhkan untuk memayungi NGO Felda atas kebersamaan dan muafakat dalam konteks mahu mereformasi Felda.


“Sebagaimana yang kita telah bawa dalam lembaga penasihat kerajaan tempoh hari, kita telah serah 46 muka surat cadangan penambahbaikan ke atas Felda.


“Sehubungan dengan itu kita harapkan kerjasama bukan sahaja dari NGO ini tetapi umumnya badan-badan yang wujud dalam Felda seperti Gabungan Pergerakan Wanita (GPW), badan khairat kematian dan lain-lain.


“Kalau badan-badan ini dapat kita payungi maka apa juga usaha kita dapat berjalan secara teratur dan tentu sekali dapat beri manfaat kepada Felda,” katanya selepas hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Muafakat NGO Felda di Wisma Felda Tunggal, semalam.


Mazlan berkata, dia tidak melihat NGO menyertai majlis permuafakatan itu yang terdiri daripada latar belakang parti politik berlainan itu dengan pandangan politik.


Sebaliknya, NGO berkenaan dilihat sebagai NGO yang berdikari supaya dalam konteks semak dan imbang, majlis permuafakatan itu bebas memberi pandangan dan tidak terikat dengan kerajaan.


“Kalau kita masih berlegar dalam konteks kepelbagaian pegangan politik itu boleh merencatkan permuafakatan. Jadi kita nak elak benda itu, nak elak pergeseran politik kerana perbezaan wadah atau pegangan politik.


“Masing-masing ada hak untuk tentukan wadah mereka bebas ke mana-mana, dalam konteks NGO Felda inilah tugas dan tanggungjawab majlis muafakat supaya kita ketepikan sentimen demi matlamat jelas kita bagaimana nak bina semula Felda. Ini mesej yang jelas,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]