Umno ada pilihan tidak mengundi

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Umno mempunyai pilihan untuk tidak mengundi calon Speaker Dun Kedah, sekiranya enggan dilihat bekerjasama dengan Pas atau Pakatan Harapan (Harapan).


Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pilihan itu juga lebih baik berbanding memilih diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan menyusahkan banyak pihak.


Menurutnya, pendekatan itu juga dilihat lebih harmoni selain mengelak parti itu hilang tiga kerusi Dun miliknya sekiranya diadakan PRN.


“Umno masih ada pilihan lain jika tak mahu bagi sokongan kepada Pas atau Harapan. Tiga Adun BN itu tak perlu undi calon Pas atau Harapan, mereka boleh keluar Dewan ketika proses pengundian berlangsung,” katanya.


Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pihaknya percaya Umno akan mengambil pendekatan bijaksana, iaitu dengan tidak memihak kepada mana-mana parti.


“Ini akan menyebabkan undian Harapan menjadi 18, manakala Pas 15. Dengan ini, keputusan akan memihak kepada Harapan dan tiada keperluan adakan PRN,” katanya.


Menurutnya, pihaknya yakin itu pilihan paling selamat untuk Umno mengekalkan kedudukan kerusi Dun milik mereka berbanding berdepan risiko hilang kerusi jika PRN diadakan, berikutan suasana politik yang tidak menentu kini.


“Saya percaya tiga Adun BN itu tidak bersedia berpakat dengan Pas atau ambil risiko lebih besar memilih PRN. Pasti Umno juga tak mahu ambil risiko memperjudikan nasib Adun mereka semata-mata mahukan PRN,” katanya.


Mahfuz yakin PRN bukan pilihan Umno kerana ia bukan jalan selamat buat parti itu.


“Jika PRN berlaku, risiko BN hilang kerusi lebih tinggi kerana rakyat akan menilai semula untuk tolak pentadbiran negeri yang berbeza dengan pusat, kerana ia menyulitkan keadaan, sudah tentu undi berpihak kepada Harapan selaku kerajaan pusat,” katanya.


Menurutnya, kenyataan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kelmarin, bahawa parti itu bersedia memilih PRN jika tidak menyokong calon Speaker Pas atau Harapan, adalah sesuatu yang tidak masuk akal.


“Ahmad Bashah seakan tidak berpijak pada realiti politik Kedah dan pemikiran pengundi Kedah, yang pastinya tidak mahu diadakan PRN. Rakyat sudah muak dengan kerenah politik,” katanya.


Mahfuz berkata, dalam suasana politik kini, tidak mustahil akan berlaku Adun BN keluar parti hanya kerana kerajaan negeri dan pusat tidak senada.


“Di beberapa negeri sudah pun berlaku. Mereka tidak tunggu pemilihan parti bagi mengelak dilabel keluar parti kerana jawatan,” katanya.


Pada PRU14, BN hanya menang di kerusi Dun Guar Chempedak (Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail), dua lagi adalah Dun Sungai Tiang (Datuk Suraya Yaacob) dan Dun Bandar Baharu (Datuk Norsabrina Mohd Noor).


Dalam pada itu, Mahfuz menempelak sikap Pas yang ghairah berebut jawatan Speaker Dun Kedah, dengan mencadangkan kerajaan perpaduan.


“Alasannya, kedudukan kerusi Harapan sama banyak dengan kerusi Pas dicampur BN. Nampaknya perpaduan dibawa Pas adalah untuk menempatkan Pas dalam kuasa politik,” katanya.


Menurutnya, tidak salah untuk Pas mencalonkan Speaker, namun tidak perlu berselindung di sebalik slogan kerajaan perpaduan tanpa pembangkang.


“Sebelum PRU14, kita ajak bersama mereka tak mahu. Konon pasai ada parti pengkhianat, sekarang nak ajak pula bentuk kerajaan perpaduan di Kedah bersama pengkhianat? Rakyat nilailah sikap pimpinan Pas yang jadikan perpaduan sebagai alat politik mereka,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]