Zainol jangka lebih ramai wakil rakyat Umno keluar parti

in Politik by


IPOH – Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin tidak menolak kemungkinan lebih ramai kalangan Adun dan Ahli Parlimen Umno buat keputusan untuk keluar parti.


Beliau berkata, dalam situasi politik sekarang, setiap daripada mereka boleh membuat keputusan dan pertimbangan sendiri antara kepentingan parti atau rakyat di kawasan yang diwakili.


“Keputusan keluar parti ini hanyalah satu perubahan ke platform yang lebih baik, bukanlah libatkan isu besar seperti keluar agama, saya yakin ia dilakukan selepas mengambil kira semua aspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali umum keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas menyokong Kerajaan Harapan.


Pada PRU14 lalu, Noor Azmi menang dengan majoriti 172 undi dihadapan calon Pas, Rohaya Bakar dan calon PKR, Adam Asmuni.


Zainol Fadzi yang menjadi antara dua Adun BN memberi sokongan kepada pembentukan Kerajaan Pakatan Harapan di Perak, Mei lalu berkata, pihaknya memahami tindakan diambil itu, sepertimana dilakukan beliau sebelum ini.


Katanya, sebagai wakil rakyat, pastinya Noor Azmi merasakan perlunya platform lain bagi memastikan kebajikan rakyat di Parlimen Bagan Serai dapat dibela.Sejak keputusan PRU14 diumum, tiga wakil rakyat Umno di Perak telah keluar parti.


Mereka adalah Zainol Fadzi yang juga Adun Sungai Manik, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Adun Tualang Sekah) dan terbaru, Noor Azmi (Ahli Parlimen Bagan Serai).


Source: SH Politik

[featured-video-plus]