‘Anda bagus KJ, tapi kami tak boleh sokong Umno’

in Politik by


KUALA LUMPUR – Kekalahan Umno dalam PRU14 berpunca daripada terlalu banyak persepsi mengenai masalah kepimpinan dan skandal melibatkan parti.


Calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu menyebabkan mereka berkhidmat yang dengan baik mendapat tempiasnya.


Katanya, ini termasuklah Pemuda dan Puteri Umno yang telah bekerja keras, namun orang muda menilai parti secara keseluruhannya pada PRU14.


[ARTIKEL BERKAITAN: Usia bukan halangan KJ duduk kerusi Presiden Umno]


“Saya baca banyak komen di Facebook, bukan saya nak masuk bakul angkat sendiri. Tetapi ramai yang komen ‘Kita tiada masalah dengan you (anda) KJ cuma kita tak boleh sokong Umno sebab kepimpinan, sebab skandal’.


“Saya terpaksa cakap perkara yang benar. Kalau tak percaya boleh semak komen di laman sosial saya,” katanya ketika sesi soal jawab di Facebooknya, hari ini.


Khairy berkata, masalah tersebut perlu dielakkan oleh kepimpinan parti pada masa akan datang.


“Kepimpinan jangan jadi beban kepada parti. Bukan saja orang muda, malah askar, Felda dan sebahagian polis pun tak sokong kita.


“Bukannya kerana menteri tak buat kerja tetapi sebab terlalu banyak isu besar. Air dah keruh di hulu dan kita di hilir sukar nak tapis,” katanya.


Sementara itu, Khairy berkata, Umno juga tidak boleh menjadi parti yang melindungi pemimpin yang melakukan kesalahan.


“Sesiapa saja yang didakwa di mahkamah kena jawab tuduhan. Kita tak mahu dikenali sebagai parti yang lindungi pemimpin atau ahli yang lari daripada siasatan.


“Kita kena tampilkan imej parti yang baharu dan ada integriti,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]