Fokus pembangunan Sungai Acheh

in Edisi Utara by


NIBONG TEBAL – Pembangunan di kawasan Sungai Acheh tidak akan dipinggirkan malah pelbagai kemajuan sedang dirancang untuk kemudahan masyarakat di kawasan berkenaan.


Adun Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim berkata, jika sebelum ini kawasan yang terletak di selatan di negeri ini dikatakan sering dipinggirkan namun beliau akan memastikan kawasan itu tidak diabaikan.


Menurutnya, dalam perjumpaan bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang diadakan bersama wakil rakyat di kawasan Seberang Perai Selatan sebelum ini, kerajaan negeri menyatakan komitmen untuk membawa perubahan dan membangunkan kawasan Sungai Acheh.


“Kalau kita lihat kawasan pekan Sungai Acheh dan beberapa pekan kecil di sini, keadaannya sama seperti 30 tahun lalu.


“Malah ada masyarakat di sini mengadu mengenai kekurangan kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan ini. Sebagai wakil rakyat baharu di kawasan ini saya akan pastikan Sungai Acheh tidak akan dipinggirkan lagi,” katanya ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka anjuran pejabatnya, kelmarin.


Zulkifli berkata, Kon Yeow juga meminta supaya beliau memperincikan pembangunan yang akan dibawa di Sungai Acheh dan membincangkan perkara itu dengan Jawatankuasa Pembangunan Daerah Seberang Perai Selatan sebelum dibawa kepada perhatian kerajaan negeri.


Katanya, walaupun menyedari keadaan kewangan negara agak tenat namun pembangunan dan perubahan perlu dilakukan di sini demi kepentingan masyarakat.


“Saya amat mengharapkan dokongan daripada agensi kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat untuk melihat pembangunan yang boleh dibawa di sini,” katanya.


Pada PRU14 lalu, Zulkifli dalam manifestonya berjanji akan memastikan pekan Sungai Acheh berubah wajah sekiranya rakyat di kawasan itu bertukar memilih PKR pada PRU14.


Zulkifli berkata, pelbagai kemajuan di kawasan ini akan dilaksanakan seiring dengan pembangunan yang dilakukan kerajaan negeri yang diyakini akan terus dipertahankan kerajaan Pakatan Harapan.


Selain itu, antara teras yang akan diperjuangkan adalah pembangunan ekonomi belia di kawasan berkenaan, projek perumahan mampu milik di Sungai Acheh dan pembangunan baharu di gerbang selatan Pulau Pinang.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]