Guan Eng keterlaluan tafsir Malaysia Baharu

in Nasional by


SHAH ALAM – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dianggap keterlaluan dalam mentafsir semangat Malaysia Baharu apabila mempertahankan konsep multilingualism.


Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah dasar dan ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Memang bahasa etnik lain tidak dilarang malah diberi ruang untuk diguna, tetapi Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi kerajaan dalam semua urusan. Untuk Guan Eng beralasan ini adalah Malaysia Baharu, ternyata beliau melampaui semangat yang diidamkan oleh rakyat dalam PRU 14.


“Kami melihat sikap Guan Eng adalah keterlaluan dalam mentafsir semangat Malaysia Baharu. Kami terkejut dengan sikap beliau dalam isu bahasa yang tidak pernah dibangkit oleh pimpinan kerajaan yang lain sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, kerajaan baharu yang memerintah diingatkan agar tidak mencetuskan kebangkitan rakyat untuk memastikan agenda bahasa kebangsaan didaulatkan.


“Isu bahasa telah membawa rakyat berdemonstrasi di jalan raya beberapa kali dalam sejarah negara. Kemahuan rakyat ialah membangunkan negara dengan identiti nasional dalam kerangka bahasa kebangsaan yang disepakati bersama berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.


“Kami mengesa Perdana Menteri menegur sikap Guan Eng agar beliau akur kepada kemahuan majoriti rakyat iaitu mendaulatkan Bahasa Melayu,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]