Ini tanggungjawab terbesar: Ketua Umno Bahagian Gua Musang

in Edisi by


GUA MUSANG – ‘Ini tanggungjawab terbesar yang perlu saya pikul, bukan masa dabik dada kerana jawatan,” tegas Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani.


Beliau berkata, selepas berdepan dengan kekalahan teruk pada PRU14, Pemuda Umno juga turut dikaitkan sebagai punca apabila gagal meraih sokongan anak muda.


“Walaupun postmortem masih belum dibuat, kita juga turut terpalit dalam kekalahan lalu kerana pelbagai tanggapan negatif yang timbul.


“Apabila saya dipilih sebagai Ketua Pemuda bagi penggal 2018-2021, saya sedar, ia adalah tanggungjawab besar. Situasi sangat berbeza kerana kita kini pembangkang.


“Namun, saya berjanji akan berusaha sehabis daya menarik semula sokongan orang muda terhadap Umno,” katanya selepas Mesyuarat Perwakilan Bahagian Gua Musang, kelmarin.


Tambah Mohd Azmawi, beliau juga menyanjung tinggi keputusan calon Ketua Pemuda, Mohd Norfazly Daud yang memberi laluan kepadanya menang tanpa bertanding.


“Kepercayaan dan sokongan ini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk terus berjuang dan berkhidmat untuk Umno.


“Kita akan memantapkan lagi kepimpinan dan memperkasakan program-program berimpak tinggi melibatkan pelbagai bidang termasuk pengurusan,latihan, kemahiran, pendidikan, ekonomi, keusahawanan, sosial dan sukan,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]