Ismail Sabri label Guan Eng cauvinis, rasis

in Nasional by


SHAH ALAM – Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementerian menunjukkan beliau seorang yang cauvinis.


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai seorang warganegara Malaysia, Guan Eng juga telah gagal dan secara sengaja tidak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.


“Beliau secara terang adalah anti Bahasa Melayu. Tindakan Guan Eng ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152(1)(a); bahasa kebangsaan adalah bahasa rasmi yang digunakan dalam tujuan rasmi.


“Dan perkara 152(6); tujuan rasmi bermaksud untuk urusan Kerajaan Persekutuan atau negeri. Tindakan biadab Guan Eng ini seolah-olah menggambarkan permulaan kepada usaha beliau untuk menghapuskan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Ismail Sabri, Guan Eng sepatutnya dapat membezakan antara tindakan beliau sebagai Setiausaha Agung DAP dan sebagai Menteri Kewangan.


“Jelas bahawa Guang Eng tidak dapat menyembunyikan sikap sebenar beliau yang rasis dan anti Melayu sehinggakan bahasa kebangsaan diketepikan dalam tugas rasminya sebagai Menteri Kewangan. Sikap biadab Guan Eng lebih jelas ditunjukkan apabila beliau enggan meminta maaf di atas kesalahannya.


“Sepatutnya beliau memohon maaf dan berjanji menghentikan tindakan yang salah itu. Sebaliknya beliau telah mempertahankan tindakan menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng digesa minta maaf dalam Bahasa Melayu]


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]