Jejak kasih imbau cerita lama

in Edisi Utara by


NIBONG TEBAL – Cuti sempena Aidilfitri baru-baru ini menjadi pilihan kepada bekas murid Sekolah Kebangsaan Nibong Tebal (SKNT) untuk menganjurkan program jejak kasih selepas tidak bertemu sejak sekian lama.


Kesibukan kerja, berpindah dan terputus hubungan antara punca dalam kalangan mereka tidak bersua muka hampir 24 tahun apabila masing-masing membawa haluan selepas tamat persekolahan.


Pengerusi penganjur majlis reunion SKNT sesi 1994, Dr Nor Syafawati Osnamila Abdullah berkata, idea menganjurkan majlis jejak kasih ini tercetus melalui perbincangan di Facebook bagi menghimpunkan kembali rakan sekolah.


“Kami mula menjejak rakan-rakan di Facebook sebelum menubuhkan satu kumpulan WhatsApp dan mencari rakan lain yang terpisah sejak sekian lama.


“Objektif kami hanya mahu mengeratkan kembali silaturahim dan menghargai bekas guru kami yang bertanggungjawab membesar dan mendidik kami,” katanya.


Dalam majlis yang diadakan tersebut, seramai 30 bekas murid bersama lapan guru mereka berjaya disatukan semula.


Nor Syafawati berkata, ramai bekas pelajar dari SKNT mempunyai kerjaya yang hebat seperti doktor, peguam, pensyarah, pegawai polis dan tentera serta pekerja swasta.


Menurutnya lagi, mereka bukan sahaja dapat beramah mesra dan mengimbau cerita lama, malah turut berkongsi mengenai kisah hidup masing-masing.


Selain jamuan raya, turut diadakan acara sukaneka, cabutan bertuah dan sesi fotografi bagi merakamkan kenangan bersama-sama.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]