Lagi desakan supaya Guan Eng mohon maaf

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng digesa membuat permohonan maaf secara terbuka dalam kenyataan Bahasa Melayu kepada seluruh rakyat Malaysia.


Perkara itu secara tegas dinyatakan oleh Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru di sini hari ini.


Ketuanya, Mohd Hairi Mad Sah berkata, sebagai Pegawai Tinggi Kerajaan, Guan Eng yang lahir di negara ini sepatutnya maklum bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia dan ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Belum pernah dalam sejarah Malaysia kenyataan rasmi mana-mana kementerian dalam negara ini dikeluarkan dalam Bahasa Mandarin, yang ternyata dilakukan dengan sengaja bagi ‘menguji’ kedaulatan Bahasa Melayu.


 Belum sampai 100 hari, Lim Guan Eng sudah berani mencabar perkara yang termaktub dalam perlembagaan, bayangkan selepas ini apa pula yang beliau akan buat?,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Katanya, kenyataan balas Guan Eng yang mempertahankan tindakannya itu jelas menunjukkan sikap sombong dan angkuh pemimpin DAP yang sememangnya dikenali sejak menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang lagi.


“Ia bukan soal kenyataan itu turut dikeluarkan dalam bahasa lain, pokoknya tindakan Lim Guan Eng itu sudah jelas menunjukkan bait-bait ‘Malaysian Malaysia’ yang dilaungkan parti naungan beliau iaitu DAP,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]