LZNK bantu usahawan asnaf, OKU

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Seramai 54 usahawan terdiri daripada kalangan orang kurang upaya (OKU) dan asnaf di Kedah menerima bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).


Ketua Pegawai Eksekutif, Syeikh Zakaria Othman berkata, kesemua usahawan terlibat diberi peluang mengikuti program motivasi dan kursus asas keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran mereka.


Zakaria berkata, pihaknya melalui Bahagian Pembangunan Asnaf (BPA) mengadakan aktiviti berkenaan dengan melantik Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai konsultan kursus demi membantu usahawan terlibat.


“Kita memperuntukkan RM250,000 dana daripada CIMB Islamic Bank untuk program ini yang melibatkan seramai 27 peserta OKU dan 27 peserta daripada  usahawan asnaf kita.


“Melalui program itu, peserta diberi motivasi dan dibekalkan dengan pelbagai peralatan yang bersesuaian dengan produk mereka dan akan dibimbing oleh konsultan sehingga mereka berjaya keluar daripada kepompong asnaf,” katanya.


Beliau berkata, LZNK berharap dengan peruntukan diberikan membantu mereka ini untuk terus berjaya sekali gus mampu menjadi pembayar zakat di Kedah dan menjadi contoh kepada usahawan lain.


Sehingga kini, LZNK telah mengagihkan wang zakat berjumlah RM88.6 juta manakala kutipan mencecah RM90 juta.


Bagi orang ramai yang ingin melaporkan mengenai asnaf boleh menghubungi talian 1-800-88-1740 atau emel kepada aduan@zakatkedah.com.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]