Op Raya: JBPM Kelantan taksir kerugian RM1 juta

in Edisi by


MACHANG –  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menaksirkan kerugian harta sepanjang Op Raya Aidilfitri yang bermula pada 9 Jun hingga 23 Jun lepas di negeri ini, mencecah RM1 juta.


Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata, kesemua taksiran kerugian itu meliputi kes kebakaran dan kemalangan kenderaan sepanjang tempoh berkenaan.


“Kami menerima 165 panggilan membabitkan 100 kes kebakaran, 25 kes menyelamat dan 40 khidmat khas (kemalangan) yang melibatkan 84 cedera dan lima maut.


“Tujuh puluh peratus daripada 100 panggilan kebakaran didapati berpunca daripada elektrik manakala faktor kemalangan berpunca daripada sikap pemandu dan faktor jalan raya,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jun 2018 di Balai Bomba dan Penyelamat Machang di sini, hari ini.


Nazili berkata, selain menerima panggilan kecemasan, pihaknya turut melakukan rondaan dan memberikan bantuan awal kepada pengguna jalan raya semasa operasi tersebut dilaksanakan.


Dalam perkembangan lain, Nazili berkata, beliau mahu pegawai dan anggotanya lebih proaktif dan amanah dalam melaksanakan tugas di balai mahupun di lokasi kejadian.


“Kita juga mahu pegawai dan anggota JBPM negeri ini mempunyai semangat bekerjasama dalam melaksanakan tugas dan bersaing dengan negeri-negeri lain.


“Lebih banyak inisiatif harus dilakukan bagi menghubungkan JBPM bersama masyarakat agar tugas dan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan berkualiti apabila menghadapi sesuatu kes,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]