Op Selamat catat 36 kematian

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Sebanyak 36 kematian dilaporkan daripada 30 kes kemalangan maut berlaku dalam Op Selamat 13/2018 selama 15 hari bermula 8 hingga 22 Jun lepas itu.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Zahari Mohamed berkata, penunggang motosikal mencatatkan kadar kematian tertinggi daripada 36 kematian diterima dalam Op Selamat bersempena Hari Raya Aidilfitri tersebut.


“Daripada 36 kematian itu, 20 kematian melibatkan penunggang motosikal, diikuti pemandu kereta (5), pembonceng motosikal (4), pejalan kaki (4) dan penumpang kereta (3).


“Kita dapati kebanyakan mangsa yang maut merupakan remaja bawah umur, terutamanya remaja bawah 15 tahun dan dewasa berusia 51 tahun ke atas yang masing-masing melibatkan lapan kematian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kedah, Deputi Superintendan Hussin Zamora.


Kata Zahari, enam kematian lagi melibatkan remaja berusia 16 tahun hingga 20 tahun, 21-30 tahun (enam kematian), 31-40 tahun (lima kematian) dam 41-50 tahun (tiga kematian).


Menurut beliau, kebanyakan kes kemalangan maut yang berlaku hingga menyebabkan kematian itu disebabkan bertembung (11), terbabas (10), langgar belakang (3), langgar pejalan kaki (3), bergesel (2) dan langgar objek (1).


Katanya, siasatan mendapati kemalangan hingga mengakibatkan kematian berlaku disebabkan sikap tidak mematuhi peraturan jalan raya apabila menunggang tanpa lesen, tidak memakai topi keledar, memakai topi keledar tidak ikut spesifikasi dan menggunakan telefon.


Disebabkan itu, kata Zahari, pihaknya kecewa dengan sikap ibu bapa terutamanya yang membenarkan anak-anak masing menunggang motosikal tanpa lesen hingga menyebabkan kematian.


Oleh demikian, katanya, ibu bapa yang dikesan memberi kebenaran kepada anak menunggang motosikal tanpa lesen boleh disiasat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Dalam perkembangan lain, Zahari berkata, polis turut menerima 28 laporan kes pecah rumah dalam Op Selamat 13/2018.


“Daripada jumlah itu, sembilan kes dilaporkan di Kota Setar, diikuti Kubang Pasu (5), Kuala Muda (4), Kulim (4), Baling (3), Pendang (1), Padang Terap (1) dan Sik (1).


“Bagaimanapun, tiada kes pecah rumah dilaporkan di Langkawi, Yan dan Bandar Baharu. Kita dapati semua mangsa terlibat tak membuat laporan balik kampung,” katanya.


Menurutnya, pihaknya sudah menasihatkan orang awam supaya membuat laporan balik kampung sama ada melalui panggilan telefon atau mengisi borang, namun masih ada yang berdegil.


Katanya, dalam tempoh itu, pihaknya hanya menerima 48 laporan balik kampung termasuk 23 laporan melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), Hotline 999 (15) dan isi borang (10).


Sehubungan itu, katanya, pihaknya menjalankan 2,945 rondaan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan elemen balai dan lain-lain rondaan di kawasan kediaman penduduk yang membuat laporan balik kampung.


“Alhamdulillah, tiada kejadian pecah rumah diterima di kawasan penduduk membuat laporan balik kampung itu.


“Saya ingin tegaskan bahawa polis turut membuat rondaan di kawasan kediaman penduduk tidak membuat rondaan, namun tidak dapat sekerap di kawasan penduduk membuat laporan,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]