Ops Raya 2018: Bas ekspres guna butiran palsu antara dikesan

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Sebuah bas ekpres yang menggunakan butiran palsu termasuk nombor casis yang diubah antara kesalahan berat dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor sempena Ops Hari Raya sekitar negeri pada tahun ini.


Difahamkan, bas terbabit ditahan kira-kira jam 10.30 pagi, 18 Jun lalu oleh sepasukan anggota JPJ ketika masih membawa penumpang di Kilometer 33.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kulai, di sini.


Pengarahnya, Razali Wagiman berkata, daripda siasatan yang dijalankan, bas terbabit dipercayai datang dari arah utara dan membawa penumpang ke hentian terakhir di Terminal Larkin.


“Hasil pemeriksaan mendapati, kenderaan terbabit telah melakukan kesalahan termasuk mempamerkan nombor pendaftaran milik kenderaan lain, nombor casis palsu, selain dikesan menggunakan nombor plat dan cukai jalan palsu.


“Ketika ditemui, bas berkenaan membawa turut membawa seramai 21 penumpang sedangkan di dalam bas mempunyai 30 tempat duduk. Pemandu disyaki sudah menurunkan sebahagian penumpangnya di Pagoh sebelum ditahan di Kulai.


“Hasil siasatan, pihak kami mengesyaki pemilik bas berkenaan mempunyai dua syarikat, yang mana satu daripada bas yang ditahan itu syarikatnya mempunyai lapan bas lain,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.


Razali berkata, pihaknya turut bertindak menahan pemandu bas tersebut yang berusia 39 tahun kerana didapati membawa kenderaan yang tidak mempunyai perlindungan insuran.


“Kesalahan itu juga boleh memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000, manakala denda tidak kurang RM1,000 bagi kesalahan tiada perlindungan insurans atau penjara sehingga tiga bulan.


“Bagi bas pula kita akan siasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati mempamerkan identiti pendaftaran palsu yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM25,000 atau penjara sehingga lima tahun,” katanya.


Terdahulu, mengulas mengenai statistik yang direkodkan pada Ops Hari Raya tahun ini, beliau memberitahu sebanyak 1,274 saman telah dikeluarkam sepanjang tempoh pelaksanaan Ops iaitu 8 Jun sehingga semalam.


“Daripada 1,274 saman itu, sebanyak 1,051 pelbagai jenis kenderaan yang diambil tindakan termasuk dua kenderaan disita membabitkan kesalahan tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]