Pas Kedah ambil pendekatan berbincang lantik speaker

in Politik by


ALOR SETAR – Pas Kedah akan mengambil pendekatan berbincang dengan semua pihak termasuk Pakatan Harapan (Harapan) dan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan kemelut isu pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi mengelak berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN).


Pesuruhjayanya Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bagi mencari ruang kesepakatan itu.


“Pas mengambil pendekatan berbincang dengan bersandarkan konsep taawun (bantu-membantu) bagi mengelak daripada berlakunya PRN walau pun ada suara-suara sumbang yang menuduh kononnya Pas tamak dan gila kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, bagaimanapun Pas tetap bersedia menghadapi PRN sekiranya Harapan merasakan ia sebagai jalan terakhir penyelesaian isu tersebut.


Ahmad Fakhruddin berkata, Pas sebenarnya bersetuju dan membuka ruang kerjasama seandainya sesuatu perkara baik terutama mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat, tanah air dan agama.


Isu speaker Dun timbul apabila Harapan menguasai 18 kerusi Dun selepas PRU14 lalu, manakala Pas menguasai 15 kerusi dan BN tiga.


Mukhriz sebelum ini dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Pas dan BN untuk menyelesaikan isu berkenaan sebelum berlangsungnya persidangan Dun dijadualkan awal bulan depan. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]