Pasukan polis di Mexico diberkas susulan pembunuhan

in Global by


OCAMPO – MEXICO. Seluruh pasukan polis bandar Ocampo di Mexico ditahan kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang calon pilihan raya.


Kesemua 27 anggota polis serta seorang setiausaha keselamatan awam tempatan ditahan pasukan persekutuan semalam kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan Fernando Ángeles Juárez, calon Parti Revolusi Demokratik (PRD) yang merupakan antara parti politik utama Mexico.


Juárez, 64, ditembak mati seorang penyerang bersenjata di luar kediamannya di Michoacán, Khamis lalu.


“Dia tidak tahan melihat kemiskinan dan rasuah lalu mengambil keputusan untuk bertanding,” kata salah seorang sahabat karib Juárez , Miguel Malagón, kepada akhbar El Universal.


Pendakwa menuduh setiausaha keselamatan awam Ocampo, Oscar González García, terlibat dalam pembunuhan Juárez yang juga merupakan seorang ahli perniagaan berjaya.


Ketika ejen persekutuan Mexico tiba untuk menahan García, mereka telah dihalang oleh pegawai polis tempatan.


Namun mereka kembali dengan bantuan dan bertindak menahan seluruh pasukan polis beserta ketua mereka lalu dibawa ke Morelia untuk disoal siasat berhubung dakwaan terlibat dengan kumpulan jenayah terancang.


Lebih 100 ahli politik Mexico dilaporkan maut menjelang pilihan raya umum pada 1 Julai dan Juárez merupakan ahli politik ketiga yang dibunuh dalam masa seminggu.


Rakyat Mexico akan mengundi Ahad depan bagi memilih presiden, senator serta anggota Dewan Perwakilan baharu. – BBC


Source: SH Global

[featured-video-plus]