Sangkakan orang bakar sampah, rupa-rupanya…

in Edisi Selangor KL by


SABAK BERNAM – “Saya nampak kepulan asap tebal dan sangka penduduk kampung bakar sampah atau tayar kereta lama, tapi sangkaan saya meleset selepas rumah jiran musnah dijilat api,” kata saksi kejadian, Siti Rosnani Jamal, 42.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.14 pagi tadi itu, seorang lelaki rentung selepas rumah separuh kayu dua tingkat didiaminya musnah dalam kebakaran di Jalan Haji Ehsan, Kampung Sungai Tengar, di sini.


Siti Rosnani berkata, dia hanya mampu mengucap panjang apabila menyaksikan kebakaran rumah jirannya yang mengorbankan seorang penghuni warga emas.


“Kejadian berlaku ketika saya dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah berdekatan


“Saya nampak kebakaran itu sewaktu sedang memandu dan jiran cuma sempat selamatkan isteri dan seorang anaknya akibat api terlalu marak,” katanya.


Dalam kejadian itu, mangsa, Ahmad Arshad, 80, gagal menyelamatkan diri apabila terperangkap di tingkat atas kediaman berkenaan.


Bagaimanapun, isteri mangsa, Tuminah Kadis, 78, dan anak perempuannya, Nurul Huda Ahmad, 31, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) berjaya diselamatkan jiran dalam kebakaran itu.


Siti Rosnani memberitahu, dia yang sudah 13 tahun berjiran dengan mangsa mengakui keluarga itu mesra dan mengambil berat keadaan jiran tetangga.


“Sepanjang saya berjiran dengan arwah, dia tidak pernah menyakitkan hati mana-mana pihak termasuk jiran sendiri.


“Malah, setiap kali program atau kenduri di kampung, arwah dan isterinya akan turun padang membantu penduduk lain,” katanya.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, di sini, untuk bedah siasat.


Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, mayat mangsa ditemui pihaknya di kawasan ruang tamu rumah berkenaan pada jam 7.46 pagi.


“Seramai 12 anggota dan dua jentera bomba dikerah ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran rumah berkenaan.


“Kita berjaya mengawal kebakaran yang mengakibatkan rumah itu musnah 100 peratus daripada merebak ke kawasan lain.


“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]