Tidur dalam hutan kerana wayang pacak

in Edisi Pahang by


KUALA ROMPIN – Kali terakhir wayang pacak dianjurkan di sekitar Kuala Rompin adalah pada 1996, ketika itu masyarakat sudah memiliki televisyen dan kemudahan lain.


Sebelum itu, program di bawah kelolaan Jabatan Penerangan Malaysia itu amat dinanti-nantikan penduduk kampung terutama di kawasan pedalaman yang jauh dengan pekan.


Selain menjadi sumber informasi kepada dasar-dasar kerajaan, wayang pacak juga menjadi antara wadah hiburan bagi mereka yang tidak memiliki kemudahan televisyen pada waktu itu.


Pesara Juru Audio Visual Jabatan Penerangan Malaysia, Roslan Kassim, 58, berkata, hebahan akan dibuat pada sebelah petang selepas memaklumkan kepada ketua kampung mengenai kehadiran pihak penerangan dan agensi kerajaan lain terlibat.


Laluan masuk ke kampung mencabar


Menurutnya, kerja-kerja pemasangan layar dilakukan secara gotong-royong bersama penduduk kampung dan selepas Maghrib masyarakat akan mula memenuhi depan layar.


“Program yang dianjurkan di kampung-kampung ini mengikut jadual yang telah disediakan namun masa itu tiada alat perhubungan, jadi kami selalunya masuk secara mengejut manakala ketua kampung selalunya akan sambut siap sembelih ayam.


“Siaran akan dimulakan dengan filem rencana, kemudian selang dengan slot ucapan ketua kampung diikuti ceramah pegawai penerangan berkaitan isu semasa, filem-filem cerita biasanya jarang disiarkan, kebanyakan filem pendek berkisar masyarakat kampung,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau yang berasal dari Kuala Rompin itu mula berkhidmat dengan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Pahang pada 1981 di Kuantan sebelum ditukarkan ke Rompin pada 1984 dan berkhidmat di Bachok, Kelantan sebelum bersara pada 2016.

Roslan (kiri) dan rakan sekerjanya bergambar kenangan bersama kenderaan pacuan empat roda Jabatan Penerangan Malaysia yang digunakan untuk wayang pacak.


Roslan turut mengakui ada cabaran tersendiri yang perlu ditempuhi ketika melaksanakan tugas namun itu semua tidak dirasai kerana semua dilakukan secara berpasukan kerana turut melibatkan pelbagai jabatan lain.


Beliau berkata, paling mencabar adalah kesukaran untuk masuk ke kampung-kampung pedalaman yang jauh dan tiada jalan raya sempurna ketika itu.


Pernah tidur dalam hutan


Katanya, kakitangan semua jabatan terlibat juga perlu memasak sendiri makanan ketika berada di kampung terpilih.


“Ketika itu hari bekerja macam penuh seminggu, jika ada tayangan Ahad dah keluar kemudian Rabu baru balik, kerja di pejabat sampai Sabtu, ketika itu cuti hanya Ahad.


“Untuk menarik kedatangan penduduk kampung, sebelah siang jabatan lain akan buat kerja, contohnya buat kad pengenalan dan sebagainya,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut mengakui banyak beza kerja pada zaman itu dan sekarang kerana zaman kini sudah dilengkapi dengan peralatan moden serta jalan raya yang elok.


Katanya, pelbagai dugaan perlu ditempuhi namun itu semua tidak menghalang konvoi program wayang pacak untuk masuk ke kampung-kampung.


“Pernah beberapa kali kami terpaksa tidur di tengah hutan kerana kereta jabatan sangkut dalam lumpur hingga perlu ditunda dengan lori balak. Pernah juga untuk sampai ke kampung orang asli kami terpaksa tidur dalam kereta dan berlapar.


“Kalau ke Pulau Tioman ketika itu makan masa lima jam dalam bot kerana  bot waktu itu tak macam sekarang, hanya boleh baring atau duduk, tambah pula nak bawa generator dan alat-alat lain lagi yang berat,” katanya.


Walaupun sudah bersara, semua yang dilalui itu menjadi pengalaman manis buat Roslan ketika berkhidmat dengan Jabatan Penerangan Malaysia.

 


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]