Tiga pelapis baharu Umno Kemaman

in Edisi Terengganu by


KEMAMAN – Tiga wajah pelapis baharu dipilih menerajui sayap Umno Kemaman termasuk Rosmiza Mokhtar yang kini bergelar ketua Wanita bahagian itu menggantikan bekas penyandangnya yang memegang jawatan itu sejak 20 tahun lalu.


Rosmiza yang juga bekas Naib Ketua Wanita bahagian itu pada penggal lalu memenangi jawatan berkenaan dengan memperoleh sebanyak 376 undi pada pemilihan sayap yang diadakan Sabtu lalu.


Rosmiza berkata, kepercayaan yang diberikan perwakilan akan dibalas dengan meneruskan kesinambungan kerja yang dilakukan mantan ketua Wanitanya, Datuk Rohani Abdullah.


“Saya banyak belajar dari Datuk Rohani, selama 14 tahun saya dididik dan dibimbing oleh beliau yang mengetuai Wanita Umno Bahagian.


“Saya akan meneruskan perjuangan beliau untuk mengangkat Wanita Umno untuk buktikan kami masih relevan. Kami tahu sekarang media sosial memainkan peranan penting, jadi kami akan arus perdanakan Wanita Umno,” katanya.


Katanya, seiring dengan perubahan semasa, pada masa sama pembaharuan juga akan dilakukannya iaitu akan menambahbaik usaha untuk menawan hati wanita muda iaitu wanita yang melepasi had umur Puteri Umno.


“Kita beri keutamaan kepada wanita-wanita muda ini yang melepasi had umur Puteri Umno. Kita tarik mereka menerusi program-program yang penuhi kehendak mereka.


“Wanita Umno menjalankan banyak program antaranya bacaan Yasin, solat hajat dan tahlil, program sukan dan kekeluargaan serta pemeriksaan kesihata¬† berkala,” katanya lagi.


Tambahnya, bagi memantapkan lagi gerak kerja mereka, Rohani juga akan dilantik sebagai penasihat Wanita Umno Bahagian Kemaman.


Kata Rosmiza, sebelum mengalami kekalahan dalam PRU14 lalu, Wanita Umno Kemaman yang memiliki keahlian seramai 13,768 ahli adalah benteng kekuatan Umno.


“Kami akan kemaskini lagi jumlah keahlian ini. Ahli Wanita Umno tak ramai terlibat dalam pemutihan kerana sifat keibuan mereka masih tinggi, mereka setia pada parti,” katanya.


Ditanya lanjut mengenai gerak kerja, menurut Rosmiza, formula KBSM yang merupakan akronim bagi kenduri, bersalin, sakit atau uzur dan meninggal dunia akan diteruskan. Empat kategori berkenaan kita sentiasa utamakan untuk jaga kebajikan rakyat.


“KBSM ini juga membawa maksud ‘Kerja Berat Sampai Rebah’. Semuanya demi rakyat,” katanya.


Sementara itu, jawatan Naib Wanita pula disandang oleh Wan Nora Wan Ibrahim yang menang tanpa bertanding.


Jawatan Ketua Pemuda pula dimenangi Hashim Ali yang memperoleh sebanyak 160 undi mengalahkan pencabarnya, Mohd Zammil Mohd Zuslaini yang mendapat 48 undian sementara Naib Ketua Pemuda disandang Mohd Fadini Rahim yang menewaskan Hanafi Abd Rahman.


Ketua Puteri pula dimenangi Hafizah Zakaria apabila menerima sebanyak 162 undian mengalahkan saingannya, Tuan Noraishah Tuan Puteh yang memperoleh 47 undi.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]