Tiger Mat dan Hadri diburu

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Polis Kuala Terengganu memburu dua suspek iaitu ‘Tiger Mat’ dan Hadri bagi membantu siasatan kes melanggar dan memukul anggota polis dalam satu pergaduhan pada 18 Jun lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 pagi, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam, di sini, Mohd Shaifulazwan Ismail, 36, (Tiger Mat) dan Hadri Hilmi Abu Khaled @ Che Abu, 32, dipercayai suspek utama yang memulakan pergaduhan dan memukul anggota polis berkenaan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sebelum kejadian, pusat gerakan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu menerima maklumat daripada orang awam yang mengatakan ada pergaduhan berlaku antara dua kumpulan.


“Bertindak atas maklumat itu, dua orang anggota URB (Unit Ronda Bermotosikal) bergerak menuju ke lokasi pergaduhan tersebut. Mengikut pengadu iaitu salah seorang anggota polis ini, lebih kurang 20 orang yang berada di situ dalam keadaan marah dan cuba untuk memukul mangsa.


“Pada peringkat awal, polis cuba menenangkan keadaan tapi mereka dilanggar dan antara enam ke lapan orang daripadanya bertindak menolak dan memukul dua anggota kita iaitu seorang yang berpangkat koperal, 27, dan lans koperal, 25.


“Kedua-dua anggota polis ini mengalami kecederaan lebam di muka dan sedikit trauma disebabkan ramai suspek pada waktu itu, seolah-olah mendatangkan ketakutan yang tidak boleh diterima,” katanya ketika sidang media yang diadakan di IPD Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Suffian (kanan) sewaktu sidang media yang diadakan di IPD Kuala Terengganu, hari ini.


Berikutan kejadian  itu, Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Terengganu telah berjaya menangkap enam suspek termasuk seorang wanita, berusia antara 24 hingga 45 tahun.


Hasil ujian saringan urin mendapati kesemuanya negatif manakala seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah dadah.


“Kesemua yang ditahan telah direman selama seminggu dan empat daripadanya disambung reman selama seminggu lagi bagi membantu siasatan. Mereka disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh, Seksyen 506 KK kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 147 KK kerana merusuh.


“Hasil siasatan awal yang dilakukan, kita dapati punca pergaduhan dipercayai kerana mengganggu isteri orang. Polis sedang mengesan dua lagi suspek yang masih bebas, kita percaya mereka masih berada di Terengganu.


“Kita telah pun meminta kedua-dua suspek ini menyerah diri tetapi malangnya gagal untuk mengambil tindakan secara diplomasi. Polis ingin meminta kerjasama orang awam yang melihat atau mengenali suspek ini, untuk memaklumkan kepada balai-balai berdekatan atau terus hubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Wan Nurliyana Wan Sukri di talian 011-11639295,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]