Yusri rombak formasi hadapi Perak

in Sukan by


YUSRI Che Lah merombak formasi ketika pasukan kendaliannya, Kelantan berdepan ujian getir menentang Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam esok.


Pemangku ketua jurulatih The Red Warriors itu mendedahkan rombakan tersebut dilakukan bagi memastikan pasukannya tidak terus dibelenggu badi kekalahan ketika mereka berada dalam situasi sukar untuk keluar daripada zon penyingkiran.


“Apabila pemain melancarkan serangan, kita terlalu terbuka di bahagian pertahanan dan ini yang berlaku bila tewas kepada PKNS FC di mana salah satu gol yang dijaringkan mereka diperoleh menerusi serangan balas pantas.


“Perkara seperti ini tidak harus berlaku lagi, saya terpaksa mengubah percaturan taktikal sambil berharap barisan pemain faham dan terjemahkannya dalam pertemuan malam esok,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.


Dalam masa sama, pengendali kelahiran Perlis itu turut menuntut ketajaman sentuhan terakhir setelah anak buahnya dilihat begitu banyak mensia-siakan deretan peluang dalam perlawanan sebelum ini.  


“Inilah dikatakan kematangan seorang pemain, ia akan datang sendiri apabila mereka memiliki daya usaha menyudahkan setiap peluang terhidang. Mereka perlu lebih kreatif dan tenang apabila berada dalam kotak penalti.


“Tak kiralah sama ada hanya satu peluang sekali pun dalam 90 minit, kalau itu dapat menghasilkan gol dan membolehkan Kelantan menang, bukankah ia lebih baik buat pasukan,” katanya.


Sementara itu, Yusri tidak dapat lari memikirkan kerisauan berikutan penyerang import baharu dari Brazil, Cristiano Santos yang menjadi sandaran utama mengalami kecederaan hamstring dalam sesi latihan, tiga hari lalu.


“Mana-mana jurulatih yang berada di tempat saya sekarang amat kecewa bila mendapat berita buruk seperti ini tetapi berbaki masa yang ada, sudah tentu saya harap dia akan segera pulih.


“Kita perlu ingat, pasukan tak cukup pemain import dan lokal, suka atau tidak dia (Santos) perlu korban diri dan semua rakan mereka juga kena beri sokongan agar dia boleh diturunkan, malam esok,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]