Aktiviti kuari rugikan petani

in Edisi by


JEDOK – Sekumpulan petani di Bendang Salor dan Bendang Mak Jamal di sini menggesa pihak bertanggungjawab membantu isu tanah sawah mereka yang didakwa terjejas akibat aktiviti kuari di sekitar kawasan berkenaan.


Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lanas-Jedok yang juga salah seorang pemilik tanah, Zulkifli Yunus berkata, isu berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama iaitu lebih 20 tahun.


Dakwanya, jika dahulu hanya satu syarikat pengusaha kuari menjalankan aktiviti itu, tetapi kini terdapat dua syarikat menjalankan operasi sama.


“Sebelum ini tanah-tanah di sini diusahakan dengan tanaman padi. Bagaimanapun hakisan batu batan akibat projek itu telah menjejaskan kawasan tanaman berkenaan,” katanya kepada media di sini, semalam.


Zulkifli berkata, kesan daripada kegiatan itu juga kira-kira 25 hektar kawasan pertanian melibatkan hampir 20 pemilik tanah di kampung berkenaan tidak dapat diusahakan dan terbiar begitu sahaja.


“Bagaimanapun bagi penduduk yang ada sumber kewangan, mereka beralih kepada tanaman kelapa sawit. Manakala yang tidak mempunyai modal, tanah tersebut dibiarkan tanpa diusahakan,” katanya.


Dakwanya lagi, aktiviti dari kuari berkenaan turut menyebabkan kawasan tadahan air terjejas.


Sehubungan itu, beliau berharap, kerajaan baharu yang ada hari ini dapat bertindak lebih proaktif dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.


“Mungkin ada kaedah atau pendekatan boleh diambil demi meringankan beban sebahagian pemilik tanah yang hilang punca pendapatan. Misalnya melalui bayaran pampasan atau alternatif lain yang difikirkan sesuai,” katanya.


Seorang lagi pemilik tanah, Nik Daud Nik Leh, 60, berkata, kewujudan kuari di kawasan berkenaan turut menjejaskan alam sekitar termasuk sumber air di kawasan itu.


Dakwanya, perkara itu pernah dilaporkan kepada jabatan terlibat namun sehingga kini masih belum ada penyelesaian.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]