Bantu promosi produk industri kayu Bumiputera

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Kerajaan negeri bersedia menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi meningkatkan ekonomi usahawan Bumiputera dalam industri kayu.


Exco Pembangunan Usahawan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya yakin usaha itu dapat mempromosikan produk perabot dan kayu dihasilkan hingga menguasai pasaran domestik, sekali gus memasuki pasaran antarabangsa.


“Berdasarkan pemerhatian, usahawan Bumiputera berkenaan memiliki produk kayu dengan rekaan tersendiri, bagaimanapun mereka mungkin sukar mengetengahkan hasil produk akibat masalah pemasaran.


“Bagaimanapun, mereka boleh mengetengahkan hasil produk mereka hingga ke luar negara dengan menambah baik kaedah pemasaran dan reka bentuk produk,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kedah Wood & Lifesytle Fair di Kompleks Star Parade, di sini, semalam.


Pihaknya berharap lebih ramai pengusaha Bumiputera terutamanya belia tempatan terlibat dalam industri perkayuan, yang mana ia dilihat secara tidak langsung mampu meningkatkan nilai eksport produk perkayuan negara.


Katanya, usahawan diharap terus menggunakan platform disediakan MTIB untuk meluaskan produk mereka memandangkan nilai pasaran industri perkayuan amat tinggi.


Manakala, Ketua Pengarah MTIB Datuk Dr Jalaluddin Harun berkata, MTIB ingin membantu lebih banyak usahawan di Kedah yang mempunyai bakat besar dalam menghasilkan reka bentuk produk tersendiri.


“Di Kedah, usahawan yang terlibat dalam industri ini terdiri daripada individu berusia antara 20 hingga 40 tahun, dan cabaran di sini adalah untuk menggalakkan mereka supaya lebih fokus kepada orientasi pasaran bagi membolehkan produk mereka dikenali,” katanya.


Disebabkan itu katanya, pihaknya menyambut baik penganjuran Kedah Wood & Lifestyle Fair kerana ia mampu memperkenalkan produk berasakan kayu kepada pengguna.


Kata Dr Jalaluddin, pihaknya sentiasa mencari inisiatif memajukan industri kayu negara memandangkan tahap prestasi usahawan Bumiputera masih rendah.


“Alhamdulillah, kita dapat membantu usahawan Bumiputera menjana jualan sebanyak RM22.77 juta sejak pelaksanaan pameran itu pada 2016 hingga 2017. Di Kedah, sebanyak RM9.2 juta jualan dijana,” katanya.


Antara lain, katanya, MTIB menyediakan pinjaman mesin berteknologi tinggi kepada 50 usahawan Bumiputera dan dana untuk merealisasikan kontrak kerja atau bekalan melalui Program Sokongan Pinjaman Bahan Mentah kepada 88 syarikat Bumiputera.


Terdahulu, seramai 20 usahawan Bumiputera yang mengeluarkan produk ukiran, pintu, perabot rumah, kabinet dapur, perabot taman, hiasan dalaman dan bahan binaan berasaskan kayu mengambil bahagian dalam program itu.


Kedah Wood & Lifestyle Fair berlangsung selama sembilan hari bermula 23 Jun hingga 1 Julai bertempat di ruang legar Kompleks Star Parade bermula 10 pagi hingga 10 malam.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]