Gerakan Kedah sokong keputusan pusat

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Parti Gerakan Kedah menyokong dan menghormati keputusan Gerakan Pusat untuk keluar BN dicapai sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya, baru-baru ini.


Pengerusi Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai berkata seperti yang diputuskan di peringkat pusat juga Gerakan negeri juga akan memainkan peranan sebagai sebuah parti yang bebas untuk menjalankan semak dan imbang ke atas Kerajaan Pakatan Harapan peringkat negeri.


“Kita juga memainkan peranan sebagai sebuah parti pembangkang yang konstruktif,” katanya.


Pihaknya juga akan memainkan peranan yang sama selaras dengan objektiviti dan misi parti dalam memperjuangkan nasib rakyat jelata tanpa mengira kaum.


“Pusat gerakan akan beroperasi seperti biasa dan aduan boleh dikemukakan kepada pihak kami.


“Di Kedah, Gerakan mempunyai keahlian lebih 9,000 ahli. Kita (Gerakan) cuma keluar dari BN, namun peranan parti masih sama,” katanya.


Gerakan Pusat yang mengumumkan keluar BN, gagal menang satu pun kerusi pada PRU, lalu.


Keputusan Gerakan keluar BN dicapai sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya yang membincangkan perkembangan politik negara pasca PRU14 dan mengambil kira kehendak di akar umbi.


Dengan keputusan itu, BN kini hanya dianggotai tiga parti, Umno, MCA dan MIC, berbanding 13 parti komponen sebelum PRU14.


Keputusan Gerakan ini menyusul 11 hari selepas empat parti komponen di Sarawak meninggalkan BN dan membentuk pakatan parti politik atas nama Gabungan Politik Sarawak (GPS).


Parti itu diasaskan oleh beberapa pemimpin serpihan MCA, bekas pemimpin Parti Buruh dan tokoh akademik menjelang pilihan raya umum 1969, antaranya Syed Hussain Alatas, Dr Tan Chee Koon, Lim Chong Eu dan Profesor Wong Gungwu.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]