Guan Eng jangan cuba main api

in Nasional by


KOTA BHARU – Pas mengingatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng jangan cuba bermain api yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat dengan sikap angkuh dan sombongnya memperlekehkan martabat Bahasa Melayu.


Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan Guan Eng guna tiga bahasa untuk kenyataan kementeriannya atau seumpamanya itu jelas sebagai satu bentuk hasutan dan provokasi menimbulkan kebencian rakyat sekaligus menggugat perpaduan kaum.


Menurutnya, Pas memandang serius perkara sebegini dan ia tidak pernah dilakukan dalam sejarah pentadbiran tanah air yang mana menteri mengeluarkan kenyataan rasmi guna Bahasa Mandarin walaupun sebagai terjemahan.


“Guan Eng tidak perlu menjadi anai-anai yang memakan teras perpaduan dan persefahaman dalam negara ini terbina sekian lama melalui pelbagai cabaran dan peristiwa buruk oleh pemimpin serta orang terdahulu untuk diwarisi bahkan dinikmati okeh kita sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.


Mengulas lanjut, Takiyuddin juga berkata, tindakan Guan Eng mempertahankan perbuatannya dengan mengeluarkan kenyataan di Facebook menggunakan Bahasa Mandarin sebagai angkuh dan sombong.


Tambah beliau, lebih malang lagi apabila  menteri itu dipercayai secara sengaja dan berhelah membuat satu tafsiran salah serta mengarut terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.


Pas katanya tidak menafikan penggunaan Bahasa Mandarin atau lain-laij bahasa di negara ini, namun menggunakan selain Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kerajaan adalah kesilapan yang nyata.


Perkara 152(1)(a) secara jelas katanya menyatakan Bahasa Melayu perlu digunakan sebagai bahasa rasmi kerajaan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]