Hilang pendapatan sejak anak sakit kanser

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri di sini yang menjual putu bambu di pasar malam tidak dapat berniaga selepas anaknya disahkan menghidap kanser hodgkin lymphoma.


S Zamzilah Sarijo, 46, berkata, anaknya, Nur Zafirah Atan, 17, mula dikesan mengalami simptom penyakit itu ketika dia sedang menduduki Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) apabila sering demam.


Menurutnya, awal 2017, keadaan Zafirah semakin merosot apabila kerap demam panas selain nafas laju dan juga terdapat kelenjar di lehernya.


“Berikutan itu, dia dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum membuat pembedahan mengeluarkan kelenjar pada Julai tahun lalu.


“Selepas sebulan baru kami tahu Zafirah ada kanser dan terus dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) pula. Masa tu masih tahap dua. Tapi setelah kimo pertama selama enam bulan sel kanser masih aktif.


“Doktor meneruskan kimo yang kuat kimo ice, tetapi masih tak berjaya. Doktor juga sarankan Zafirah jalani rawatan ubat yang paling kuat untuk matikan sel kanser pada Julai ini,” katanya kepada Sinar Harian.


Ibu kepada empat anak itu berkata, Zafirah merupakan anak bongsu dalam keluarga seperti remaja lain cuma kesihatannya membuatkan dia cepat penat dan tidak aktif.


Jelasnya, suaminya, Atan Ngadi, 54, merupakan OKU tidak kuat bekerja di luar menyebabkan mereka menyara hidup dengan menjual putu bambu.


“Sebelum ini berniaga pasar malam dapatlah sebulan dalam RM800 ke RM1,000. Tapi sejak anak sakit dah tak dapat niaga.


“Kerana kami kerap ulang-alik hospital untuk rawatan Zafirah. Suami juga ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan,” katanya yang menetap di Felda Bukit Aping Barat.


Sehubungan itu katanya, dia memohon sumbangan kewangan dari orang ramai bagi meringankan bebannya serta suami untuk pembiayaan kos rawatan Brentuximab anaknya yang menelan belanja tinggi.


Katanya, dia dimaklumkan kos rawatan itu mencecah RM60,000 namun pihak hospital akan mendapatkan dana sebanyak RM40,000 dari Majlis Kanser Negara (MAKNA) dan Yayasan Tunku Jalil.


Manakala selebihnya sebanyak RM20,000 perlu ditanggung sendiri untuk merawat anak perempuannya itu.


Orang ramai yang mahu hulurkan sumbangan boleh menyumbang ke akaun BSN Nurzafirah Atan 01200-29-00041409-3 atau berhubung dengan ibunya di talian 01112793761.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]