Kebakaran di Korea Selatan ragut dua nyawa

in Global by


SEOUL – KOREA SELATAN. Sekurang-kurangnya dua terbunuh dalam kebakaran di tapak pembinaan bangunan apartmen di bandar Sejong, hari ini.


Bomba berkata, dalam kejadian itu seorang dilaporkan hilang manakala 37 lagi cedera.


14 pekerja warga China antara yang terlibat dalam kecelakaan itu namun masih belum jelas sekiranya terdapat warga China yang terkorban dalam kejadian berkenaan, kata jurucakap Agensi Kebakaran Kebangsaan.


Kebakaran di bangunan 24 tingkat yang masih dalam pembinaan itu bermula di bahagian tempat letak kereta bawah tanah.


“Terdapat bunyi letupan kuat dan saya melihat api marak serta asap hitam mula berkepul daripada bangunan di seberang jalan,” kata seorang saksi kepada agensi berita Yonhap.


“Pekerja menjerit meminta pertolongan daripada tingkap dan perancah,” kata seorang lagi saksi.


Pegawai syarikat pembinaan terbabit menganggarkan 169 orang pekerja hadir di tapak pembinaan itu ketika kebakaran berlaku.


Kira-kira 40 buah jentera bomba bersama 115 anggota dikejarkan ke lokasi untuk mengawal kebakaran namun mereka berdepan masalah gas toksik yang terhasil akibat bahan penebat yang terbakar, kata anggota bomba di lokasi kepada wartawan tempatan. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]