Kekurangan bukan penghalang

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MERLIMAU – Memiliki tubuh badan tidak normal seperti manusia lain tidak menjadi alasan untuk seorang anak muda melangkah jauh dan memperjuangkan impian seperti orang lain.


Malah Omar Manan, 24, menganggap bahawa seseorang itu tidak mustahil boleh mengecap kejayaan jika usaha dan kesungguhan ditetapkan dalam diri.


Menurutnya, kerana itu dia nekad memartabatkan seni mempertahankan silat di kampungnya apabila dilihat arus pemodenan semakin mengikis warisan nenek moyang dari hari ke hari.


“Pertubuhan Seni Silat Pusaka Jawa Sendeng Merlimau Pasir sebenarnya sudah diwujudkan sejak 2014 lagi. Ketika itu kami bergerak menerusi GB4B Merlimau Pasir, Jiran Muda dan KRT Merlimau Pasir.


“Sehingga sekarang kami masih teruskan usaha ini untuk memastikan anak-anak muda terutama yang berada di kampung ini sedar kepentingan silat,” katanya ketika ditemui di sini.


Omar berkata, bukan mudah mempertahankan pertubuhan silat tersebut memandangkan ahli-ahlinya sering bertukar ganti.


“Minat anak-anak muda terhadap silat semakin berkurangan. Mungkin peningkatan usia selain sibuk dengan kerjaya dan kurangnya masa mengikuti latihan menyebabkan mereka tidak dapat memberikan perhatian dan komitmen.


“Pada masa sama, tiada atau kurang pendedahan mengenai seni mempertahankan diri tradisi ini turut menjadi faktor. Kerana itu saya yakin, mereka tidak minat untuk mempelajari silat walaupun ia seni sangat hebat dan berharga,” katanya.


Menurutnya, walaupun begitu dia komited meneruskan pelbagai inisiatif supaya pertubuhan silatnya terus bertahan.


“Mungkin pada awalnya saya hanya suka-suka mengajar rakan-rakan di kampung tetapi tak sangka pula sehingga ke tahap ini.


“Jadi, walaupun ahli bertukar ganti, rasa tanggungjawab untuk berkongsi dengan orang lain seni silat akan diteruskan,” katanya.

Barisan pesilat.


Omar yang juga bekas atlit paralimpiad powerlifting Melaka itu berkata, dia juga tidak ketinggalan menimba pelbagai pengalaman sebelum layak mengajar anak muridnya.


“Saya berguru dengan Wak Mat berasal dari Indonesia. Malah bukan beliau seorang tapi saya juga belajar seni silat dengan empat lagi guru.


“Bagi saya ilmu silat perlulah lengkap supaya tidak nampak sumbang di mata pesilat lain dan sebagai orang baru juga, masih banyak perlu saya pelajari untuk memantapkan ilmu persilatan,” katanya.


Lancar gelanggang baharu


Untuk merealisasikan impiannya, Omar melangkah setapak lagi dengan melancarkan sebuah gelanggang silat.


Menurutnya, pembukaan gelanggang silat tersebut bagi memudahkan mereka menjalankan latihan selain menunjukkan kesungguhannya menarik masyarakat mempelajari seni silat.


“Saya sangat bersyukur kerana dapat melancarkan gelanggang ini. Sokongan semua pihak sangat dihargai. Saya harap selepas ini lebih ramai anak-anak muda terbuka hati mereka untuk bersilat,” katanya.


Majlis pelancaran tersebut diserikan dengan penyampaian selempang kepada ahli-ahli pertubuhan tersebut.


“Pemberian selempang sebagai tanda semangat dan penghargaan kepada mereka kerana menyertai pertubuhan ini.


“Penglibatan mereka sangat mengharukan saya dan saya yakin jika dibentuk dengan baik, ia mampu melatih ahli-ahli mempunyai jati diri mantap,” katanya gelanggang dibuka setiap malam Sabtu dan Ahad.


Omar berkata, pertubuhan silatnya itu mempunyai 20 ahli berdaftar yang terdiri daripada individu yang berusia 10 hingga 40 tahun.


Mereka juga sering memenuhi undangan untuk mengadakan persembahan di majlis-majlis rasmi tertentu selain perkahwinan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]