Kongsi rezeki hasil tanaman

in Edisi Pahang by


TEMERLOH – Persekitaran Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Temerloh umpama taman hijau yang memberikan wajah lebih menarik kepada kakitangan dan orang ramai.


Ini kerana ia dipenuhi dengan pelbagai hasil tanaman seperti cili, bendi, terung, kangkung, sawi, maman dan nenas yang kini telah mula mengeluarkan hasil.


Selain itu turut ditanam pokok nangka madu, mangga, jambu batu dan longan menerusi projek tersebut.


Semuanya hasil kerjasama dengan Jabatan Pertanian Daerah Temerloh melalui Agen Pengembangan Tanaman (APT) menerusi projek pertanian bandar komuniti sejak April lalu.


Biarpun keluasannya di hadapan balai itu tidak seluas mana, namun projek tersebut membuktikan ia bukan penghalang utama untuk memastikan ia berjaya dilaksanakan.


Jabatan pertanian bantu


Agen APT Mukim Perak, Sabtu Atan memberitahu, peringkat awal sebelum bermula projek itu, kakitangan balai itu diberikan pendedahan dan kursus secara hands on.


Menurutnya, antara yang dibimbing seperti cara-cara membuat tanah campuran, keperluan tanaman, penjagaan, landskap dan cantasan.


“Kita juga tidak membiarkan mereka selepas itu sebaliknya terus membuat lawatan susulan bagi memberikan khidmat nasihat dari masa ke semasa.


“Penggunaan kaedah kawalan serangga dan perosak turut diajar agar penggunaan racun serangga dapat diminimumkan,” katanya lagi.


Menurutnya antara kaedah didedahkan menggunakan ekstrak bawang putih, halia dan cuka bagi kawasan yang terkena serangan serangga perosak selain kaedah manual mengutip dan memusnahkan sendiri seperti siput babi.


Tegasnya, medium penanaman turut menggunakan bahan kitar semula dalam memastikan alam sekitar terpelihara.


“Antaranya menggunakan tayar terpakai bagi tempat bekas tanaman dan untuk projek ini kita menggunakan 30 bekas tayar untuk tanaman kangkung yang kini telah dua kali dituai hasilnya.


“Selain itu, terung dan bendi turut ditanam menggunakan bekas tayar ini,” ujarnya.


Usaha dapat penghargaan


Sementara itu, Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Hasanuddin Hussin memuji usaha dan menghargai usaha yang telah dijalankan yang turut membabitkan penyertaan kakitangan balai semua pangkat.


Menurutnya, projek itu turut memberikan banyak kesan positif dan pihaknya akan terus memberikan komitmen sebaik mungkin.


“Dengan projek ini, kawasan lapang di hadapan balai digunakan sebaik mungkin untuk aktiviti bercucuk tanam dan menghasilkan satu landskap hijau yang menarik,” katanya lagi.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]