Lagi pegawai kanan GLC akan dipecat

in Uncategorized by


IPOH – Beberapa pegawai kanan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri akan ditamatkan perkhidmatan.


Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu dibuat sebagai langkah untuk menyelamatkan syarikat daripada terus menanggung beban kewangan yang tinggi.


Katanya, khidmat pegawai-pegawai kanan tersebut tidak harus disambung kerana mereka gagal membawa keuntungan kepada GLC yang mereka sertai.


“Dengan tindakan sedemikian kita dapat menjimatkan perbelanjaan syarikat dan dengan penjimatan ini boleh digunakan untuk kegunaan lain yang lebih bermanfaat.


“Tindakan ini (pecat) akan dilakukan dengan teliti kerana ada pegawai kanan yang terikat dengan kontrak dan sebagainya. Apapun, tujuannya bukan untuk buang orang tetapi untuk menyelamatkan syarikat-syarikat milik rakyat ini,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan wakil Syarikat Unisem, dipejabatnya, hari ini.


Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal turut mendedahkan terdapat ramai pekerja bawahan yang tidak diperlukan.


Namun beliau berkata, pihaknya tidak akan terburu-buru mengambil keputusan terhadap pekerja bawahan ini sebaliknya akan mencari jalan penyelesaian terbaik.


“Kita faham jika kita memecat seorang pemandu contohnya bukan sahaja dia hilang punca pendapatan tetapi keluarga juga. Kepada mereka yang bergaji rendah tidaklah kita ambil tindakan terburu-buru.


“Kita akan cari jalan bagaimana untuk meminimumkan perbelanjaan syarikat dan dalam masa sama memikirkan juga tanggungjawab kita terhadap beberapa pekerja ini,” katanya.


Ditanya mengenai GLC yang akan mengalami pengecilan organisasi itu, Ahmad Faizal enggan mendedahkannya.


Beliau berkata, semua akan diketahui apabila laporan audit dibentang dalam Dewan Undangan Negeri seperti yang termaktub dalam manifesto Harapan Perak.


Sebelum ini, Ahmad Faizal mendedahkan terdapat tujuh pegawai kanan sebuah GLC Negeri yang dipecat.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]