Padah sogok anggota penguatkuasa

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Seorang tekong bot warga Vietnam dikenakan hukuman penjara selama 30 hari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah menawarkan rasuah RM20,000 kepada penjawat awam, awal Mei lalu.


Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Mohd Ghazali Mohamad Taib memerintah hukuman penjara kepada Lam Ngoan, 42, bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 3 Mei lalu.


Bapa kepada tiga anak itu turut dikenakan hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda.


Lam Ngoan mengaku menawarkan suapan RM20,000 kepada Leftenan Komander Maritim, Mahadi Ismail yang bertugas di Agensi Penguatkuasaan Maritim DM8, di sini, sebagai dorongan untuk tidak menahannya yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun.


Dia menawarkan rasuah sejumlah itu kepada Mahadi di lokasi berkedudukan lebih kurang 100 batu nautika, dari Kuantan, jam 9.50 pagi, pada 3 Mei lalu.


Akibat kesalahan menawarkan rasuah itu, Ngoan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan membawa hukuman enam bulan penjara dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.


Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia( SPRM), Kamariah Seman memohon agar hukuman setimpal diberikan  bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.


Bagaimanapun, Peguam mewakili tertuduh, Mohd Suhaimi Ismail memohon hukuman ringan diberikan atas alasan pengakuan anak guamnya menjimatkan masa mahkamah.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]